Posted by: aKuD@iF | 18 April 2010

Epilog 1

Kala senja ini, aku menerawang sendirian. Cuba mencari secebis kekuatan. Terasa kosong rohani. Terasa kelam pedoman diri. Ah, dunia yang dikejar langsung tak terkejar. Semakin mengejar, semakin tercicir. Payahnya kehidupan ini. Sukarnya jalan ini. Ujian bertimpa-timpa tanpa sempadan kesenangan. Terlalu mencari senang sehingga lupa akan pentingnya ketenangan.

Jiwa berkecamuk, imbauan dosa-dosa silam. Terusik jiwa yang sudah kaku dengan ujian yang kecil ini. Kecil buat mereka yang memerhati, tapi besar buat yang mengharungi. Pantaskah diri ini melalui, bersama hela nafas-nafas yang ada. Sesekali mengeluh, sesekali mencungap. Di hambat kenangan noda silam, dicengkam sejuta kesilapan dan kealpaan diri. Diriku jatuh lagi disini, kerana mengikut hati yang hampir mati.

Bagai sebuah mimpi ngeri, kehidupan yang mulanya dengan baik, mengalir deras menuju kehancuran. Apakah ini pengakhiran buatku? Apakah ini bisa menjernihkan dosa noda terdahulu? Kata hati terus bertanya sendirian. Mengelamun dalam mencari jawapan.

Ya Allah… hamba Mu masih disini, pada saat dan ketika ini, pada kesuraman jiwa lantaran seksanya menanggung kesukaran ini. Pandanglah hamba Mu ini. Dengarkanlah rintihan jiwa ini.. Ampunkanlah keterlanjuran ini

*================================================================================*

” Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. beri ma’aflah Kami; ampunilah Kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”

*================================================================================*

Sebat : Satu Agenda Politik atau Proses Pembangunan Akhlak Ummah

Baru-baru ini Jabatan Penjara Malaysia telah mengenakan tindakan sebat terhadap pesalah zina. Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Tindakan ini adalah susulan daripada kes bekas model sambilan, Kartika yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008. Namun, hukuman kes Kartika masih lagi ditangguhkan sehingga sekarang.

Melihat kepada segala polemik, terutamanya kritikan dan sikap jahil yang dicerminkan oleh kalangan tertentu, seperti Majlis Peguam dan juga beberapa pertubuhan wanita, adalah timbul disebabkan mereka melihat dan mengukur undang-undang jenayah Islam dari kacamata undang-undang sivil.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20 Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa, iaitu Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan.

Sepatutnya, peruntukan undang-undang seperti ini menjadi langkah awal kepada pemahaman , penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang Syariah seperti yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah yang sebenar. Undang-undang penjajah sepatutnya sudah lama dikikis dan digantikan dengan undang-undang Islam yang menitikkan pendidikan dan keadilan.

Namun, sehingga kini dilihat tiada langkah proaktif yang diambil oleh pakar undang-undang muslim negara bagi memulihkan sistem perundangan sivil mahupun syariah sendiri supaya selari dengan acuan perundangan Islam. Retetan daripada itulah, banyak isu-isu yang terbengkalai yang sepatutnya ada penyelesaiannya.

SPAQ tidak berhasrat untuk mengulas panjang isu berbangkit ini kerana pada keluaran SPAQ yang sebelumnya telah dijelaskan tentang Hukuman sebat menurut Islam, Tatacara perlaksanaannya dan Kewajipan melaksanakan perundangan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Cuma, untuk isu zina ini, bilangan sebatan yang dijatuhkan berbeza dengan peruntukkan hukuman sebat bagi isu pesalah arak. Namun realitinya, bilangan sebatan bagi kedua-dua kesalahan berikut masih lagi belum mencapai bilangan yang sepatutnya seperti yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.

Walaupun begitu, SPAQ amat menyokong baik segala usaha kearah merealisasikan undang-undang Syariah Islam yang sebenar sebagai satu proses pendidikan aqidah dan akhlak kepada masyarakat Islam dalam menuruti perintah Allah dan menjauhi amalan mungkar. Sekaligus memberi persepsi yang positif kepada masyarakat bukan Islam terhadap Perundangan Hudud, Qisas dan Takzir ini yang mana jauh lebih adil dan rasional berbanding dengan hukuman ciptaan manusia.

Tetapi, golongan Liberal masih lagi mengasak dan mengkritik sistem perundangan Islam melalui Forum Hak Asasi Manusia, Seminar Kesamarataan Gender, media massa dan elektronik serta kempen anti Syariah yang mengundang kebimbangan semua pihak yang prihatin dan cakna dengan Islam.

SPAQ semakin bimbang berkenaan polemik isu sebatan ini yang mereka anggap sebagai hukuman yang zalim, primitif, pencabulan terhadap hak asasi wanita dan pelbagai lagi kritikan yang tidak berasas, yang mana boleh mencetuskan kecelaruan dan salah faham golongan bukan Islam mahupun muslim sendiri terhadap perundangan Syariah Islam.

Namun, isu-isu seperti ini yang terus dijaja berterusan dan sesekali bermusim untuk dibangkitkan mengundang seribu persoalan. Apatah lagi, jalan penyelesaian yang dibuat selalu menemui kebuntuan dan timbul tenggelam dalam rencah isu masyarakat. Ia seolah-olah sebagai satu alat untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap isu tertentu ataupun sebagai bukti akan rapuhnya sistem perundangan negara yang semakin dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa.

Buktinya, Badan berwajib kerajaan yang menjaga hal berkaitan Islam seolah-olah tidak ada kuasa untuk bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini, malah mengatakan hal sedemikian diluar bidang kuasa mereka dan menunding jari kepada pihak yang kedua untuk menyelesaikannya. Pihak yang kedua pula melemparkan tanggungjawab ini kepada pihak yang lain pula tanpa ada sebarang usaha untuk menyelesaikannya.

Sedangkan secara umumnya, penyelesaian cukup mudah. Segala hal yang berkaitan dengan kesalahan Syariah haruslah dirujuk kepada makhamah Syariah, perundangan Syariah haruslah diperkemaskan dan digazetkan selari dengan perundangan Islam yang sebenar serta penguatkuasaan undang-undang Syariah daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri mahupun Persekutuan.

Isu berbangkit ini juga seolah-olah sengaja dibangkitkan dan dimainkan oleh pihak tertentu untuk mencapai kepentingan dan gelaran jaguh dalam masyarakat. SPAQ mengutuk tindakan biadap sesetengah pihak yang cuba menjadikan isu ini, dan Islam itu sendiri sebagai modal kepada habuan peribadi dan politik masing-masing.

Jika benar isu ini bukan bertujuan politik dan berkepentingan peribadi, mana mungkin kes Kartika berlanjutan sehingga kini dan isu sebat zina ini juga mencetuskan kontroversi sekali lagi. Jelaslah, hal yang sebegini hanya mengundang persepsi negatif terhadap sistem perundangan Islam dan kredibiliti badan perundangan Syariah dalam memartabatakan perundangan Islam terhakis.

Masyarakat muslim masih lagi menagih empati dan harapan daripada semua ahli Majlis Raja-Raja Melayu yang memegang tampuk selaku ketua agama Islam disetiap negeri agar bersama-sama turun padang demi menjaga kesucian Islam ini daripada terus ternoda oleh tangan-tangan golongan Liberal yang menjadi boneka kepada golongan kuffar.

SPAQ sekali lagi menyeru kepada pihak yang berkenaan, yang diberi autoriti dalam hal ini agar mengambil langkah yang proaktif, berhikmah dan adil dalam membendung kecelaruan tanggapan dan serangan dakyah sesat terhadap sistem perundangan Syariah Islam.

SPAQ juga berharap agar kes Kartika dipercepatkan dan dilaksanakan menurut perundangan Syariah Islam yang sebenar bagi membuktikan keadilan dan hikmahnya Sistem Perundangan Syariah Islam serta memberi peringatan kepada semua pihak akan kewajipan dalam menurut segala perintah Allah.

Cetusan Minda :
Mohd Izzuddin bin Mohd Zin.
Setiausaha Eksekutif,
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ).

Posted by: aKuD@iF | 24 December 2009

Isteri solehah

Sukarnya meraih solehah. Acap kali keluhan itu keluar dari bibir merahnya. Sesekali pandangannya dilempar jauh. Bagai merenung ke satu dimensi yang hanya dia dapat mengerti.

“Mengapa ni..kak. Kakak ada masalah?” saya bertanya ramah. Senyuman menguntum agar berkurang gelodak resah.

Kami sebenarnya sering berbual bersama. Berbincang, bertukar pandangan dan mencari titik persamaan tentang pelbagai topik kehidupan. Dan biasanya, tajuk yang menjadi fokus perbincangan kami ialah pendidikan anak-anak, kehidupan suami isteri serta pahit manis alam perkahwinan.

Jarak umur yang berbeza beberapa tahun, menjadikan saya lebih mesra memanggilnya ‘kakak’ sebagai tanda hormat.

“Tidak..hanya meluah kebimbangan yang sekian lama terpendam. Terutama bila ketiadaan insan tersayang. Saat-saat berjauhan begini, kakak manfaatkan untuk memuhasabah diri sebagai isteri,” dia menjawab sambil melempar senyuman manis. Wajah yang tadi muram, mulai sedikit berseri.

“Apa yang merisaukan kakak?” soal saya. Sengaja meminta dia bercerita dan berkongsi rasa. Mana tahu ada pedoman yang dapat saya ambil manfaat darinya.

Saya membetulkan duduk. Mencari posisi selesa agar perbualan nanti berjalan lancar tanpa gangguan suasana.

MUDAH
“Bimbang melihat kadar perceraian suami isteri dalam masyarakat kita hari ini. Sudah terlalu biasa. Bermacam-macam sebab dan punca..kerana itu, kakak selalu mengingatkan diri agar apa yang terjadi pada mereka menjadi pengajaran dan ingatan,” suaranya bergetar tanda insaf dan sedar.

“Pada kakak peranan seorang isteri amat penting untuk mengekalkan hubungan yang harmoni. Namun, bukan mudah nak jadi isteri yang baik dan solehah kepada suami. Andai dibaca sepintas lalu kalam Rasulullah yang mulia, gelaran itu amat senang diperoleh. Tidaklah serumit mana. Ina ingat tak? Rasulullah SAW pernah ditanya tentang sebaik-baik isteri. Lalu Baginda menjawab:

“Iaitu isteri yang menghadirkan rasa gembira kepadamu apabila memandangnya. Bila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu sebaiknya dan menjaga hartamu.” ( Hadis Riwayat Ahmad dan lainnya ; dianggap ‘hasan’ oleh al-Albani ).

Dan sabda Baginda juga yang bermaksud :

“Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendaki.” ( Hadis Riwayat Ahmad )

Saya menganggukkan kepala. Memang tepat apa yang dibicara. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Baginda SAW, antara punca kebahagiaan bagi seseorang anak Adam adalah dari tiga perkara iaitu: isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang memudahkan perjalanan dan pergerakannya.

TAPI
“Sayangnya ramai di antara kita yang tidak memahami dan menghadam peringatan Rasul yang mulia itu dengan sempurna,” dia menambah. Masih bernada resah pada pendengaran saya.

“Maksud kakak?” saya membalas tanya.

“Banyak peranan seorang isteri yang perlu kita muhasabah kembali. Lihat sahaja..tentang menjaga rahsia suami. Berapa ramai wanita hari ini yang dapat menyimpan rahsia suami dengan erat. Sungguh menyedihkan, masalah rumahtangga sering dijadikan tajuk cerita bersama teman-teman sekerja…” tuturnya kecewa.

“Ya..betul tu kak. Ramai yang beralasan, mereka sekadar ingin meluah rasa dan meminta nasihat sepatah dua…” saya mengiyakan butir katanya.

“Ya..itu ada benarnya dan berkonsultasi tentangnya memang dibolehkan dalam agama. Meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai, baik akhlak dan mampu menjaga rahsia. Tetapi apa maknanya jika masalah tersebut diketahui bukan seorang dua..tetapi seramai yang berada di tempat kerja? Ada yang boleh ketawa lagi bercerita perihal rumahtangga mereka. Bukankah itu sudah membuka aib suami dan diri sendiri?

Seorang isteri yang menjaja keburukan suami, di mana lagi rasa hormatnya kepada ketua rumahtangga? Sudah tentu isteri yang begini tidak akan mampu berada di depan suami dalam keadaan ceria dan menceriakan suami yang memandangnya?” bertalu dia melontarkan persoalan yang membuka lagi kesedaran saya.

“Lebih malang, jika masalah bersama suami didedahkan kepada rakan sekerja lelaki dan akhirnya mereka jatuh dalam perangkap cinta ’gelap’ tanpa disedari. Kononnya cinta itu lahir dari rasa ‘ambil berat’, ‘perhatian’ dan ‘kesudian si lelaki mendengar luahan hati, “ saya menambah isi.

SOLAT DAN PUASA
Sungguh benar persoalan yang diketengahkannya. Itu belum lagi menyentuh tentang solat dan puasa. Pada saya, seorang wanita dan isteri belum layak bergelar solehah jika dalam melaksanakan kedua-dua ibadah ini mereka masih bermasalah.

Ada sebahagian yang melengah-lengahkan solat dengan pelbagai sebab yang tidak sepatutnya dijadikan alasan hingga solat tergadai. Terutama kepada kaum perempuan yang masa kitaran haid mereka sudah hampir sampai. Golongan ini harus lebih peka dan beringat dengan masa yang ada. Jika mereka melambat-lambatkan solat, dibimbangi ketika masuk waktu sedang mereka masih sibuk dengan pelbagai urusan.

Ibadah wajib yang wajar didahulukan, ditangguh-tangguh hingga hampir ke pengakhiran. Ketika mahu mengerjakan solat, didapati darah haid telah pun keluar. Sayang sekali. Solat yang sepatutnya boleh dikerjakan secara ‘tunai’, terpaksa diqada’ dan diganti setelah suci dek kerana lalai dan cuai.

Tidak kurang juga, ada yang terlalu obses dengan kerja hingga solat dilakukan secara tergesa-gesa. Allah SWT berfirman, mengingatkan tentang kemurkaan-Nya ke atas mereka yang melalaikan tanggungjawab sebagai hamba, bermaksud :

“Maka celakalah orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya” (Al-Mau’n ayat 4 dan 5 )

Lalai yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiadanya konsentrasi dan kekhusyukan selama melaksanakan solat. Keadaan ini merupakan suatu kerosakan yang besar bagi seorang mukmin. Dan dalam konteks seorang wanita dan isteri, ia boleh memberi kesan buruk terhadap pelaksanaan-pelaksanaan lain agamanya.

Demikian juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hadirnya hanya sebulan. Atas rahmat dan kasih sayang-Nya, kaum wanita yang didatangi haid atau berada di dalam nifas, gugur ke atas mereka kewajipan berpuasa Ramadhan.

Begitu juga dibenarkan kepada wanita-wanita hamil dan menyusu anaknya untuk tidak menunaikan puasa. Namun, ramai yang terleka dengan nikmat kemurahan Ar-Rahman. Puasa yang ditinggalkan, mengambil masa yang lama untuk diganti semula. Hari berganti hari, minggu berganti bulan. Sehingga akhirnya, Ramadhan tiba kembali, puasa itu masih juga belum berganti. Sekali lagi, cuai…lalai.

Lalu, bagaimana mungkin keadaan-keadaan ini mampu membawa pelaksananya meraih gelaran solehah di sisi Ilahi?

SUKARKAH MERAIH SOLEHAH?
“Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya,”dia menyimpulkan sebelum menamatkan perbualan kami.

“Hakikatnya, pilihan berada di tangan kita. Untuk menjadi solehah, al Quran dan hadis Rasulullah SAW ada pedoman pada kedua-duanya. Tinggal lagi, sama ada kita mahu atau membiarkan masa dan ruang yang ada terus berlalu,”dia menambah .

“Memang benar. Kesedaran tanpa perubahan, umpama mimpi-mimpi sementara. Tiada makna,”saya membuat rumusan di samping mengingatkan diri yang juga sering kealpaan.

Justeru, sempena ketibaan tahun baru 1431 Hijriah ini, mari bersama memuhasabah diri. Membina azam untuk terus memperbaiki diri. Baik saya, anda dan sesiapa sahaja di luar sana, jadikan gelaran wanita dan isteri solehah sebagai motivasi untuk kita mempertingkatkan kualiti.

Ilmu dan amal seiring menghiasi peribadi, keimanan dan keyakinan kepada Hari Akhirat menjadi inspirasi mukminah muslimah sejati. Semoga kitalah harta bernilai bagi seorang lelaki bernama suami selepas ketaqwaan dan keimanannnya kepada Ilahi.

Berhijrahlah..berusahalah…mudah-mudahan kita berjaya meraih gelaran solehah, ameen.

“Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan yang indah, dan sebaik-baik perhiasan di dalamnya ialah wanita (isteri) yang solehah” ( Hadis riwayat Muslim )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Artikel ini diambil daripada blog ummuhusna99.blogspot.com

Posted by: aKuD@iF | 15 December 2009

Tabiat buruk merokok : Mencari satu penyelesaian

Budaya merokok merupakan satu tabiat yang amat buruk. Apatah lagi ia memberi impak negatif terhadap sistem tubuh badan kita. Rokok juga telah diwartakan haram oleh kebanyakan ulama dan dibuktikan secara saintifik mampu mendatangkan seribu macam penyakit kronik.

Tambahan pula, keuntungan penjualan rokok juga disalurkan kepada badan-badan tertentu untuk menghancurkan Islam. Jelas, pengharaman dan bahayanya merokok perlu menjadi satu topik yang perlu diperingatkan dari semasa ke semasa kerana kini di Malaysia sendiri, pertambahan perokok hampir mencecah belasan juta orang. Amat menyedihkan apabila masih ada segelintir ibu dan bapa sendiri merokok dihadapan anak-anak mereka tanpa ada rasa bersalah dan malu.

Saya kerap terjumpa keluarga muslim apabila berkunjung ke gerai makan, yang mana ibunya sedang merokok. Apakah ini bibit-bibit kehancuran sedang melanda dalam institusi keluarga muslim di Malaysia? Pelbagai kempen telah dilaksanakan, tetapi natijahnya bukanlah seperti yang kita harapkan. Tabiat merokok terus menjadi budaya dalam masyarakat.

Langkah drastik kerajaan Malaysia dalam meningkatkan cukai rokok yang menyebabkan harga rokok mula melambung tinggi dan menetapkan hanya rokok berjumlah 20 batang sahaja dapat dijual adalah satu langkah yang tidak relevan dan terburu-buru. Apakah langkah ini bisa menghadkan bilangan perokok yang semakin bertambah dan membentuk kepada sosio-ekonomi masyarakat yang lebih baik?

Cukai tahunan yang dikutip oleh kerajaan daripada import dan eksport hasil tembakau amat memberangsangkan. Statistik keuntungan hasil tembakau ini dapat didefinisikan kepada pertambahan perokok baru, peningkatan merokok sehari dan harga rokok yang semakin tinggi.Tambahan pula, tabiat merokok melangkaui jurang usia dan gender, impak negatif yang cukup besar kepada pembentukan masyarakat yang berakhlak dan sihat.

Remaja sekolah yang terlibat dengan kegiatan merokok semestinya merasa terbeban dengan harga rokok yang semakin tinggi walaupun bilangan sekotak rokok bertambah kepada 20 batang rokok sekotak. Idea ini dikatakan mampu menyekat penularan tabiat merokok dalam kalangan remaja.

Namun, secara realitinya, remaja yang sudah sebati dengan ketagihan merokok tidak akan berputus asa daripada mendapatkan rokok walau dengan apa cara sekalipun. Masakan tidak, bilangan perokok di kalangan remaja semakin bertambah walaupun harga rokok meningkat naik daripada semasa ke semasa. Ditambah pula dengan serakan iklan bahaya merokok yang sudah banyak dicanang di media massa mahupun di kotak rokok sendiri.

Apa yang membimbangkan, adalah jika wang menjadi taruhan untuk mendapatkan sekotak rokok, akan tercetus banyak masalah sosial yang lain seperti mencuri, merompak, buli dan budaya memboros. Jika hal ini berlanjutan, tidak mungkin masalah sosial yang sedang membarah sekarang ini dapat ditangani dengan baik dan berhemah.

Amat mendukacitakan, idea kerajaan ini seolah-olah memenangkan pihak pengeluar rokok. Dengan hanya penjualan 20 batang rokok sekotak pada harga yang tinggi memberikan keuntungan yang amat besar kepada syarikat pengeluar rokok. Keuntungan berlipat kali ganda hasil penjualan rokok ini seakan-akan mengiyakan bahawa Malaysia merupakan sebahagian daripada pengimport rokok terbesar dunia.

Pada hemat saya, idea yang dirancangkan oleh kerajaan bagi menangani gejala merokok ini amat tidak rasional. Dan saya sekali lagi memohon keprihatinan semua pihak termasuk pihak kerajaan sendiri agar menimbang balik idea yang telah diutarakan itu. Semoga keprihatinan kita dalam membentuk sebuah negara yang sejahtera dan rakyatnya sihat dapat direalisasikan melalui idea-idea yang lebih relevan dan rasional.

Posted by: aKuD@iF | 27 November 2009

Gerimis di Aidiladha 1430H

Semuanya tiada.

Tiada Jualan Murah.

Tiada Lagu Raya.

Tiada rancangan khas di televisyen.

Tiada mercun dan panjut menghias malam.

Segalanya tiada.

Ibu kota sunyi sepi. Tiada hiruk pikuk seperti menyambut ketibaan Syawwal. Apa yang sayup-sayup terdengar hanyalah Takbir. Di menara masjid, di surau-surau, di sesetengah rumah. Itu sahaja.

Tetapi, tidakkah itu semua suatu kelebihan?

Satu nikmat pada yang tiada. Aidil Adha tiba tanpa pesta dan hiburan. Hanya Takbir, Solat di hening Dhuha serta ibadah korban didukung jiran tetangga. Hakikatnya itulah makna sebuah Hari Raya. Hari membesarkan Allah, hari mencipta pahala, bukan hari melakar dosa.

Syukur pada-Mu ya Allah. Aidil Adha masih terpelihara. Masih jauh daripada pesta dan dosa. Moga kekal begitu hendaknya.

KEKURANGAN YANG SATU

Kekurangannya hanya pada yang satu.

Anak-anak tidak pulang ke desa.

Jika ada pun, mungkin di hari kedua. Kerana komitmen kerja dan tanggungjawab yang tidak mengenal Raya. Kampung halaman kurang menerima kepulangan anak kota.

Namun…

Andai kekurangan itu membolehkan anak-anak menjadi soleh dan terhindar daripada dosa, maafkanlah kekurangan itu duhai sang ayah, duhai sang bonda. Mungkin takbir Aidil Adha sedikit sepi daripada gelak tawa mereka, tetapi jika dengan itu anak-anak bisa lebih patuh kepada yang Esa, maafkanlah kekurangan itu.

Anak yang akan memanjangkan doa selepas matimu, bukan semestinya anak yang selalu pulang, andai pulangnya membawa dosa. Anak yang doanya didengar Tuhan, bukan semestinya anak yang pulang dengan hilai tawa kegembiraan, andai ketawa itu hanya menjauhkan keluarga daripada-Nya.

Anak yang doanya didengar Tuhan, adalah anak yang soleh, anak yang patuh kepada Tuhan. Biar pun di Aidil Adha mereka dan ibu bapa terpisah berjauhan.

Ibrahim jauh daripada keluarganya. Hajar dan Sarah sering jauh daripada suami mereka. Ismail dan Ishak sering berjauhan daripada ayahanda, namun rumahtangga itu memancarkan sejuta kehebatan. Biar tubuh terpisah di ufuk mentari, semuanya hampir, dekat di hati.

Jauh adalah pada jauhnya semua daripada-Nya.

Dekat adalah pada intimnya kita mendampingi Dia.

Justeru pada satu kekurangan di Aidil Adha, maafkanlah anakanda yang kejauhan.

Kerana mungkin dalam kekurangan itu, doa si anak lebih didengar Tuhan.

Maafkan kami wahai ayah dan bonda.

Ampunkan kami wahai Tuhan yang Maha Memaafkan.



ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 AMPANG






Sumbangan artikel oleh http://saifulislam.com

Posted by: aKuD@iF | 18 October 2009

Wali Band – Tomat (Tobat Maksiat)

Dengarlah hai sobat
Saat kau maksiat
Dan kau bayangkan ajal mendekat
Apa kan kau buat
Kau takkan selamat
Pasti dirimu habis dan tamat

Bukan ku sok taat
Sebelum terlambat
Ayo sama-sama kita taubat
Dunia sesaat
Awas kau tersesat
Ingatlah masih ada akhirat

Astafighrullahal’adzim

Reff:
Ingat mati, ingat sakit
Ingatlah saat kau sulit
Ingat ingat hidup cuman satu kali

Berapa dosa kau buat
Berapa kali maksiat
Ingat ingat sobat ingatlah akhirat

Cepat ucap astafighrullahal’adzim

Pandanglah ke sana
Lihat yang di sana
Mereka yang terbaring di tanah
Bukankah mereka
Pernah hidup juga
Kita pun kan menyusul mereka

Astafighrullahal’adzim

Repeat Reff

Cepat ucap astafighrullahal’adzim

Repeat Reff

Cepat ucap astafighrullahal’adzim
Cepat ucap astafighrullahal’adzim




Lagu boleh di muat turun daripada :

Older Posts »

Categories