Posted by: aKuD@iF | 24 February 2010

Sebat : Satu Agenda Politik atau Proses Pembangunan Akhlak Ummah

Sebat : Satu Agenda Politik atau Proses Pembangunan Akhlak Ummah

Baru-baru ini Jabatan Penjara Malaysia telah mengenakan tindakan sebat terhadap pesalah zina. Tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.

Tindakan ini adalah susulan daripada kes bekas model sambilan, Kartika yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008. Namun, hukuman kes Kartika masih lagi ditangguhkan sehingga sekarang.

Melihat kepada segala polemik, terutamanya kritikan dan sikap jahil yang dicerminkan oleh kalangan tertentu, seperti Majlis Peguam dan juga beberapa pertubuhan wanita, adalah timbul disebabkan mereka melihat dan mengukur undang-undang jenayah Islam dari kacamata undang-undang sivil.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Yang Arif Dato’ Haji Abd Rahman Yunos pada 20 Julai 2009 yang lalu adalah satu hukuman yang sah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa, iaitu Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987) yang memperuntukkan bahawa bagi sesiapa yang didapati bersalah meminum minuman yang memabukkan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM5,000.00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan.

Sepatutnya, peruntukan undang-undang seperti ini menjadi langkah awal kepada pemahaman , penguatkuasaan dan perlaksanaan undang-undang Syariah seperti yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah yang sebenar. Undang-undang penjajah sepatutnya sudah lama dikikis dan digantikan dengan undang-undang Islam yang menitikkan pendidikan dan keadilan.

Namun, sehingga kini dilihat tiada langkah proaktif yang diambil oleh pakar undang-undang muslim negara bagi memulihkan sistem perundangan sivil mahupun syariah sendiri supaya selari dengan acuan perundangan Islam. Retetan daripada itulah, banyak isu-isu yang terbengkalai yang sepatutnya ada penyelesaiannya.

SPAQ tidak berhasrat untuk mengulas panjang isu berbangkit ini kerana pada keluaran SPAQ yang sebelumnya telah dijelaskan tentang Hukuman sebat menurut Islam, Tatacara perlaksanaannya dan Kewajipan melaksanakan perundangan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Cuma, untuk isu zina ini, bilangan sebatan yang dijatuhkan berbeza dengan peruntukkan hukuman sebat bagi isu pesalah arak. Namun realitinya, bilangan sebatan bagi kedua-dua kesalahan berikut masih lagi belum mencapai bilangan yang sepatutnya seperti yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.

Walaupun begitu, SPAQ amat menyokong baik segala usaha kearah merealisasikan undang-undang Syariah Islam yang sebenar sebagai satu proses pendidikan aqidah dan akhlak kepada masyarakat Islam dalam menuruti perintah Allah dan menjauhi amalan mungkar. Sekaligus memberi persepsi yang positif kepada masyarakat bukan Islam terhadap Perundangan Hudud, Qisas dan Takzir ini yang mana jauh lebih adil dan rasional berbanding dengan hukuman ciptaan manusia.

Tetapi, golongan Liberal masih lagi mengasak dan mengkritik sistem perundangan Islam melalui Forum Hak Asasi Manusia, Seminar Kesamarataan Gender, media massa dan elektronik serta kempen anti Syariah yang mengundang kebimbangan semua pihak yang prihatin dan cakna dengan Islam.

SPAQ semakin bimbang berkenaan polemik isu sebatan ini yang mereka anggap sebagai hukuman yang zalim, primitif, pencabulan terhadap hak asasi wanita dan pelbagai lagi kritikan yang tidak berasas, yang mana boleh mencetuskan kecelaruan dan salah faham golongan bukan Islam mahupun muslim sendiri terhadap perundangan Syariah Islam.

Namun, isu-isu seperti ini yang terus dijaja berterusan dan sesekali bermusim untuk dibangkitkan mengundang seribu persoalan. Apatah lagi, jalan penyelesaian yang dibuat selalu menemui kebuntuan dan timbul tenggelam dalam rencah isu masyarakat. Ia seolah-olah sebagai satu alat untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap isu tertentu ataupun sebagai bukti akan rapuhnya sistem perundangan negara yang semakin dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa.

Buktinya, Badan berwajib kerajaan yang menjaga hal berkaitan Islam seolah-olah tidak ada kuasa untuk bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini, malah mengatakan hal sedemikian diluar bidang kuasa mereka dan menunding jari kepada pihak yang kedua untuk menyelesaikannya. Pihak yang kedua pula melemparkan tanggungjawab ini kepada pihak yang lain pula tanpa ada sebarang usaha untuk menyelesaikannya.

Sedangkan secara umumnya, penyelesaian cukup mudah. Segala hal yang berkaitan dengan kesalahan Syariah haruslah dirujuk kepada makhamah Syariah, perundangan Syariah haruslah diperkemaskan dan digazetkan selari dengan perundangan Islam yang sebenar serta penguatkuasaan undang-undang Syariah daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri mahupun Persekutuan.

Isu berbangkit ini juga seolah-olah sengaja dibangkitkan dan dimainkan oleh pihak tertentu untuk mencapai kepentingan dan gelaran jaguh dalam masyarakat. SPAQ mengutuk tindakan biadap sesetengah pihak yang cuba menjadikan isu ini, dan Islam itu sendiri sebagai modal kepada habuan peribadi dan politik masing-masing.

Jika benar isu ini bukan bertujuan politik dan berkepentingan peribadi, mana mungkin kes Kartika berlanjutan sehingga kini dan isu sebat zina ini juga mencetuskan kontroversi sekali lagi. Jelaslah, hal yang sebegini hanya mengundang persepsi negatif terhadap sistem perundangan Islam dan kredibiliti badan perundangan Syariah dalam memartabatakan perundangan Islam terhakis.

Masyarakat muslim masih lagi menagih empati dan harapan daripada semua ahli Majlis Raja-Raja Melayu yang memegang tampuk selaku ketua agama Islam disetiap negeri agar bersama-sama turun padang demi menjaga kesucian Islam ini daripada terus ternoda oleh tangan-tangan golongan Liberal yang menjadi boneka kepada golongan kuffar.

SPAQ sekali lagi menyeru kepada pihak yang berkenaan, yang diberi autoriti dalam hal ini agar mengambil langkah yang proaktif, berhikmah dan adil dalam membendung kecelaruan tanggapan dan serangan dakyah sesat terhadap sistem perundangan Syariah Islam.

SPAQ juga berharap agar kes Kartika dipercepatkan dan dilaksanakan menurut perundangan Syariah Islam yang sebenar bagi membuktikan keadilan dan hikmahnya Sistem Perundangan Syariah Islam serta memberi peringatan kepada semua pihak akan kewajipan dalam menurut segala perintah Allah.

Cetusan Minda :
Mohd Izzuddin bin Mohd Zin.
Setiausaha Eksekutif,
Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: