Posted by: aKuD@iF | 23 August 2009

Ramadhan : Festival Ibadat atau Pesta Makanan

Ramadhan Karem..

Kedatanganmu ku tunggu..

Pemergianmu ku tangisi..

Begitulah ungkapan yang selayaknya di berikan kepada penghulu segala bulan- Ramadhan Karem oleh insan-insan yang sentiasa menantikan bulan yang penuh barakah ini, bulan yang penuh keampuanan dariNya. Bagi insan-insan yang tidak mengharapkan kedatangannya mungkin menganggap ia suatu perkara yang membebankan dan menyusahkan.

Hakikatnya bulan ramadhan adalah bulan untuk menguji kesabaran dan pembersihan jiwa, bulan yang penuh keberkatan, permulaannya rahmat, pertengahannya penuh keampunan dan di akhirnya adalah kebebasan daripada azab neraka.

Namun sejauh manakah penghayatan ramadhan dalam diri kita? Cukupkah sekadar menzahirkan puasa kita dengan berlapar dahaga di siang hari, tiba masa berbuka kita berbuka tanpa ada pengisian lain selama sebulan berpuasa, sedangkan puasa sebenarnya membentuk kekuatan dalaman yang lebih bermakna. Bulan ramadhan menjadi festival ibadah bagi mereka yang memahami dan mengetahui hikmah di sebalik bulan mulia ini.

Tetapi sebaliknya berlaku kepada kebanyakan masyarakat kita pada hari ini menjadikan ramadhan sebagai pesta makan. Lihat sahaja di kaca televisyen iklan-iklan pakej berbuka puasa yang mampu menarik minat orang yang melihatnya, hotel-hotel menyediakan bufet berbuka puasa yang cukup memberangsangkan dengan tawaran harga yang rendah, gerai-gerai jualan, bazar ramadhan yang menyediakan segala jenis hidangan yang kebanyakannya tiada di bulan-bulan lain dan pelbagai lagi pesta makanan yang di zahirkan oleh peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan sempena bulan mulia ini.

Menyemarakkan Ramadan adalah sunnah Nabi SAW, tetapi salah tanggapan bahawa bulan mulia ini adalah gelanggang untuk mengadakan pesta makanan sudah cukup menggambarkan diri umat Islam hari ini masih belum benar-benar menghayati makna sebenar ramadhan. Tidak salah untuk kita menikmati hidangan-hidangan lazat, berbuka di mana-mana tempat, tetapi alangkah manisnya andai kita dapat menyemarakkan ramadhan ini dengan sama-sama merasai kesusahan fakir-fakir miskin yang tidak berkemampuan, bersederhana semasa berbuka kerana dengan cara ini kita akan dapat merasai kemanisan nikmat berpuasa itu sendiri. Jangan jadikan waktu berbuka sebagai medan untuk membalas dendam kerana seharian berlapar. Jadikan berbuka sebagai sumber untuk mengembalikan tenaga untuk menghangatkan lagi festival ibadah kita di malam hari.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan an-Nasai)

Semarakkan Ramadhan kita dengan festival ibadah di sepanjang hari kita berpuasa. Terlalu banyak amalan-amalan yang mampu kita lakukan selama sehari kita berpuasa bermula dari bersahur hinggalah berbuka, bersambung di malam hari sehingga bersahur hari seterusnya. Mulakan dengan merebut keberkatan sahur dengan melewatkannya, penuhi siang hari ramadhan dengan ibadah-ibadah sunat di samping mempertingkatkan lagi kualiti ibadah fardhu.

Solat berjamaah 5 waktu, bertadarus, memperbanyakkan sedekah, menjauhi perkara-perkara sia-sia dan bermacam-macam lagi ibadah-ibadah sunat yang mampu kita lakukan. Di malam hari jadikan solat tarawih sebagai kewajipan untuk kita di samping bangun qiamullail memohon keampunan dariNya. Jadikan puasa kita bermakna bukan sekadar berlapar dahaga sahaja.

“Ramai orang yang berpuasa, tetapi ia tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya itu melainkan lapar dan dahaga.” (Diriwayatkan oleh Nasa’i dan Ibnu Majah)

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita muhasabah diri kita sendiri, bagaimana kita meraikan bulan yang mulia ini. Adakah kita termasuk dalam golongan yang menjadikan Ramadhan yang mulia ini sebagai festival ibadah atau pesta makan? Adakah cukup untuk kita menzahirkan ramadhan ini dengan hanya berlapar dahaga disiang hari tanpa ada pengisian di dalamnya? Dan yang paling penting adakah kita mahu puasa kita pada tahun ini sama sahaja dengan puasa sebelumnya tanpa ada peningkatan kualitinya? Sama-sama kita renungkan dan muhasabah diri kita kembali untuk merasai nikmat bulan mulia ini seterusnya mendapat redhaNya. Kita juga haruslah sama-sama berdoa agar di panjangkan umur untuk terus menyemarakkan festival ibadah di bulan mulia ini pada tahun-tahun seterusnya, InsyaAllah.







Perkongsian bersama ~

Siti Nor Hafizah Mohd Salleh
Koordinator Eksekutif
https://baitulizzah.wordpress.com

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: