Posted by: aKuD@iF | 26 July 2009

Da’waHOLIC

dakwah-org-tua

Suasana da‘wah masyarakat di Malaysia hari ini berada di tahap yang agak memuaskan. Pelbagai usaha da‘wah yang dilakukan oleh individu-individu atau badan-badan yang tidak berkepentingan dilihat sebagai salah satu tanda penerimaan faham Islam yang sahih dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup seharian. Tanda-tanda ini dikuatkan lagi dengan penganjuran program-program keagamaan oleh badan kerajaan atau sukarelawan yang semakin bertambah dari sehari ke sehari sehingga mendapat sambutan baik terutama dari pihak media seperti TV9 dan sebagainya.

Dalam keributan masyarakat memberi respon yang sangat positif terhadap usaha-usaha da‘wah seperti ini, pelbagai bentuk kemungkaran masih lagi berlaku dalam setiap sudut pemikiran dan tatacara kehidupan umat Islam di Malaysia. Kemungkaran ini bukanlah persoalan yang kecil tetapi sangat serius sehingga melibatkan pegangan tuntas umat Islam iaitu ‘aqidah. Malah, kesedaran masyarakat Islam dalam mempertahankan ‘aqidah belum lagi mencapai ke tahap yang baik apabila kemungkaran ‘aqidah yang tumbuh dalam masyarakat hari ini berpunca daripada masyarakat Islam itu sendiri. Mengapa ini terjadi sedangkan usaha da‘wah diterima oleh segenap masyarakat Islam dengan baik? Hairan binti ajaib.

Apa Itu Da‘wah?

Da‘wah berasal daripada perkataan bahasa ‘Arab iaitu da‘wah (دعوة) yang bermaksud menyeru atau mengajak, dijadikan kata perbuatan bagi memanggil atau menjemput. Manusia yang berda‘wah digelar sebagai penda‘wah atau dā‘ī (داعي). Di dalam al-Qur’ān, da‘wah disebut berkali-kali sebagai suatu bentuk perbuatan yang wajib dilakukan oleh umat Islam sebagai sebuah amanah dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh para Rasul terdahulu. Kegiatan berda‘wah ini wajib bertujuan untuk mengangkat Allah SWT sebagai Tuhan mutlak dan mendidik manusia-manusia lain ke arah mengenali Allah SWT melalui ilmu dan amalan yang telah ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Namun hari ini, kegiatan da‘wah hanya ditekankan dari sudut tatacara berda‘wah sedangkan tujuan da‘wah tersebut menjadi asas terpencil dalam beberapa siri perbincangan yang berkaitan. Hikmah dalam berda‘wah, pentahapan da‘wah, cara berda‘wah yang terbaik, dan berbagai lagi menjadi tajuk perbincangan yang serius. Tidak dinafikan tajuk-tajuk sebegini penting tetapi harus dimulakan dengan tujuan berda‘wah sebagai pengantar kepada pemahaman para penda‘wah dalam menyeru dan mengajak manusia lain kembali mengenali Tuhan mereka. Mana mungkin si pemandu kereta (baca sebagai penda‘wah) yang cekap dalam pemanduan malah berbakat dalam melakukan aksi-aksi lasak ketika memandu, sedangkan tempat yang ingin ditujui masih lagi kurang jelas dalam niat dan perhatian si pemandu. Ini bukan sahaja membahayakan penumpang yang dibawanya, malah boleh mengakibatkan kemalangan serta membahayakan pemandu-pemandu yang lain!

Tujuan Da‘wah

Firman Allah SWT:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah Ṭāghūt.” Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya”

[QS al-Naḥl 16:36]

Di dalam ayat di atas, Allah SWT secara jelas menerangkan tujuan da‘wah adalah untuk mengajak atau menyeru manusia menyembah atau dengan kata yang lebih tepat iaitu mengabdikan (kata akar ‘abd: عبد)[1] diri kepadaNya serta mengajak atau menyeru manusia untuk menjauhi ṭaghūt (طغوت).

Muhammad bin Ishaq berkata dari Hassan bin Fa’id bahawa Saidina ‘Umar bin al-Khattab mengistilahkan ṭaghūt adalah Syaitan. Ibn Abi Hatim merekodkan Jabir bin ‘Abdullah apabila ditanya tentang ṭaghūt beliau berkata:

Mereka adalah tukang tilik yang datang pada mereka kejahatan”[2]

Imam Malik pula berkata:

Ṭaghūt adalah setiap benda yang menyembah selain Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Terpuji”[3]

Secara kesimpulan dan ringkasnya, ṭaghūt adalah sebarang bentuk kejahatan yang membawa kepada kesesatan ‘aqidah.

Huraian tujuan da‘wah di atas kurang dihayati oleh para penda‘wah hari ini sehingga ramai dalam kalangan mereka secara bersenang-lenang dan bersuka-ria melakukan kegiatan da‘wah mengikut acuan ilmu jiwa (psychology) bertunjangkan pandangan sarwa dan faham Barat yang terhasil daripada pensekularan ilmu. Perkara ini menjadi lebih serius apabila banyak program-program hiburan hari ini yang menampilkan “keseronokan” ibadat sebagai jalan terbaik menyampaikan da‘wah kepada masyarakat umum sehingga menempel ayat-ayat al-Qur’ān dan potongan al-Ḥadīth dalam program mungkar tersebut. Perkara ini tidak ubah seperti musang berbulu ayam. Pada pandangan luar kelihatan amat indah, namun isi di dalam ternyata membawa kepada kesesatan yang sangat nyata!

Maka, masyarakat yang dididik sebegitu rupa akan menjadikan program-program da‘wah sebegini sebagai landasan untuk ‘beribadat sambil berhibur’ dan secara tidak sedar membela nafsu perlahan-lahan sehingga setiap perkara yang haram itu dihalalkan. Inilah akibatnya jika tujuan da‘wah yang sahih dan benar kabur pada pandangan para penda‘wah seterusnya merosakkan lagi pandangan masyarakat umum terhadap Islam. Benar sekali bahawa niat tidak menghalalkan cara.

Hakikat Da‘wah

Para penda‘wah juga harus sedar bahawa usaha da‘wah wajib disertai dengan doa kepada Allah SWT Yang Maha Memberi Petunjuk. Jika diperhatikan dalam surah al-Naḥl di atas, Allah SWT berfirman:

…Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan…”

Hidayah itu tuntas milik Allah SWT Yang Maha Berkuasa menentukan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya untuk menerima kebenaran yang diserukan oleh para penda‘wah. Hakikat ini seharusnya menjadi pegangan utama setiap pendukung gerakan da‘wah bagi mengelakkan kekecewaan dalam berda‘wah atau sifat putus asa dalam menyampaikan risalah kebenaran kepada masyarakat umum.

Gugurnya para penda‘wah di dalam lapangan masyarakat hari ini adalah berpunca daripada keyakinan yang terlalu tinggi dalam menyeru masyarakat kembali kepada Allah SWT tanpa disertakan dengan doa dan pengharapan terhadap Allah SWT Yang Maha Berkuasa dalam menentukan kejayaan da‘wah seseorang. Keyakinan sebegini langsung tidak selari dengan keyakinan sebenar yang dianjurkan dalam Islam.

Usaha menyeru atau mengajak manusia untuk kembali kepada Allah SWT wajib dilakukan oleh para penda‘wah namun penyerahan mutlak hidayah penerimaan kebenaran oleh seseorang yang dida‘wah wajib diserahkan kepada Allah SWT Yang Maha Pemberi Petunjuk. Ini sehubungan dengan firman Allah SWT:

Jika mereka berpaling ingkar, maka (ingatlah) Kami tidak mengutusmu (Wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu)…”

[QS al-Shūrā 42:48]

Bukanlah kewajipanmu (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufiq) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)…”

[QS al-Baqarah 2:272]

Saiz Da‘wah

Pemahaman da‘wah terlalu luas tetapi para penda‘wah serta masyarakat hari ini menyempitkan faham da‘wah dalam bentuk program keagamaan dan penyampaian tazkirah dalam bentuk rasmi. Sekecil-kecil da‘wah seperti menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang berupa al-Ḥadīth atau pesan-pesan ulama’ kepada sahabat handai merupakan da‘wah yang sangat besar jika dilakukan dengan konsisten.

Malah, di dalam sebuah ḥadīth riwayat Bukhari dan Muslim:

Berkata ‘Aishah RA: Amalan yang paling dicintai Allah SWT adalah amalan yang berterusan (istiqamah) walaupun sedikit”[4]

Pemahaman ḥadīth ini seharusnya meresapi setiap jiwa penda‘wah dalam mengendalikan da‘wah ke arah tujuan yang lebih berkesan. Sayang sekali jika penda‘wah yang hebat berhujjah atau lantang bersuara di atas pentas tetapi kemungkaran di dalam keluarga serta maksiat yang berlaku di kawasan jiran tetangganya sendiri tidak ditangani dengan konsisten serta berhikmah.

Sekecil-kecil da‘wah walaupun dilakukan dengan konsisten, harus diingat tentang tujuannya. Kerosakan da‘wah yang konsisten juga boleh berlaku jika niat si penda‘wah bukanlah untuk menyeru atau mengajak manusia kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT, tetapi bertujuan mengambil hati dan perhatian manusia lain! Na‘uzubiLlah.

Da‘waholic

Apabila da‘wah mula difahami dan diamalkan sebagai sebuah kerjaya atau aktiviti sukarelawan, sedikit demi sedikit faham sebegini akan mengubah maksud da‘wah yang sebenar sehingga melahirkan generasi penda‘wah yang gila berda‘wah atau ketagihan da‘wah. Mungkin bunyinya seperti baik, namun hakikatnya tidak sama sekali! Da‘wah wajib dilakukan atas niat yang baik melalui kaedah yang betul. Niat yang baik bertunjangkan faham da‘wah dalam al-Qur’ān, kaedah yang betul berasaskan al-Sunnah yang ditunjukkan oleh RasuluLlah SAW dan al-Khulafā’ al-Rāshidūn.

Da‘wah itu merupakan amanah dan tanggungjawab bagi setiap muslim mengikut ukuran ketaqwaan masing-masing. Peringkat da‘wah ini juga seharusnya dilakukan dalam bentuk yang sangat tersusun dan berkesan bagi mewujudkan kesinambungan usaha da‘wah yang lebih besar dalam ruang lingkup yang lebih luas. Mana mungkin da‘wah yang dilakukan dengan penuh aktif – contohnya seminggu sekali program da‘wah – sehingga menyebabkan matlamat da‘wah terabai tetapi kepuasan berprogram tercapai atas sambutan masyarakat yang sangat menggalakkan. Keadaan begini meruncingkan lagi masa depan Islam di tangan para pendukung da‘wah.

Sifat terlalu taksub berprogram atau beramal tanpa adab seharusnya diketepikan dengan segera. Da‘wah yang benar sepatutnya dilakukan dengan mengikut landas-landas yang telah digariskan oleh RasuluLlah SAW dan al-Khulafā’ al-Rāshidūn. Da‘wah menuntut sunnah pentahapan (marḥalah: مرحلة) di dalamnya[5] bagi mewujudkan keberkesanan da‘wah selari dengan penerimaan manusia sebagai makhluk yang berakal serta bernafsu.

Suatu ketika, ‘Abd al-Malik bertanya kepada ayahnya iaitu ‘Umar ‘Abd al-‘Aziz:

Wahai ayah, mengapa berbagai hal tidak engkau laksanakan secara langsung? Demi Allah, aku tidak peduli bila periuk mendidih yang dipersiapkan untukku dan untukmu dalam melakukan kebenaran”

Akan tetapi ayahnya yang bijak menjawab pertanyaan anaknya:

Jangan tergesa-gesa wahai anakku, kerana sesungguhnya Allah SWT mencela khamar (arak) dalam al-Qur’ān sebanyak dua kali, kemudian mengharamkannya pada kali yang ketiga. Dan sesungguhnya aku khawatir bila aku membawa kebenaran atas manusia secara sekaligus, maka mereka juga akan meninggalkannya secara sekaligus. Kemudian tercipta orang-orang yang memiliki fitnah.”[6]

Bersabarlah Wahai Penda‘wah

Kesabaran dalam da‘wah menuntut para penda‘wah melakukan muhasabah bagi menilai kembali jiwa penda‘wah dalam menelusuri liku-liku perjalanan hidup sama ada masih di atas landasan yang digariskan oleh RasuluLlah SAW atau tidak. Sebagai seorang manusia biasa, para penda‘wah seharusnya memiliki kesabaran yang maha hebat dalam membawa risalah kebenaran untuk disampaikan kepada umat manusia bagi menyambung perjuangan yang dipikul oleh RasuluLlah SAW dan para Sahabat baginda.

Penda‘wah yang terlalu taksub dengan program-program da‘wah sehingga hilang adab-adab dalam berda‘wah bukan sahaja merosakkan kebenaran yang terancang, bahkan menghilangkan rahmat Allah SWT yang dikurniakan dalam setiap amal da‘wah. Kehilangan rahmat Allah SWT ini akan mengakibatkan penda‘wah mudah letih seraya berputus asa dalam meneruskan perjuangan memartabatkan kefahaman Islam yang sahih lagi benar dalam diri penda‘wah serta masyarakat yang lain.

Golongan pemuda da‘wah hari ini dilihat sebagai aset penting dalam menyambung perjuangan ulama’-ulama’ yang begitu komited membersihkan salah faham terhadap Islam dalam kacamata masyarakat umum. Jika golongan pemuda da‘wah begitu bersemangat berda‘wah sehingga berpuluh-puluh gerakan da‘wah disertainya bagi mendukung segala macam pintu-pintu da‘wah, perkara ini bukanlah sesuatu yang bijak.

Pesan Saidina ‘Ali RA:

Kebatilan (kepalsuan) yang terancang itu membatalkan kebenaran yang tidak terancang”

Da‘wah yang dilakukan secara waras dan tersusun merupakan sebuah kebenaran yang terancang.

Sempadan Da‘wah dan Jihad

Da‘wah sifatkan datang bersama jihad sebagai pelengkap kepada amanah dan tanggungjawab seorang manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Dalam menyeru atau mengajak (da‘wah) manusia kembali kepada Allah SWT, mempertahankan atau melindungi kesucian Islam dengan bersungguh-sungguh (jihād: جهاد) daripada pelbagai jenis serangan yang boleh merosakkan masa depan umat Islam merupakan perkara yang sangat dituntut bahkan melengkapkan usaha da‘wah tadi. Firman Allah SWT:

Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid al-Harām itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

[QS al-Tawbah 9:19-20]

Dalam ayat di atas, Allah SWT mengangkat martabat perbuatan yang banyak mendatangkan manfaat kepada orang lain berbanding perbuatan yang hanya mendatangkan manfaat untuk diri sendiri. Sebesar manfaat yang dirasakan oleh orang lain, sebesar itu pula keutamaan dan pahalanya di sisi Allah SWT. Oleh sebab itu, jenis perbuatan jihad adalah lebih afdhal daripada ibadah haji, kerana manfaat ibadah haji hanya dirasakan pelakunya, sedangkan manfaat jihad dirasakan oleh umat Islam keseluruhannya.[7]

Namun, para penda‘wah hari ini yang sangat hebat dalam menghuraikan hujjah-hujjah ilmiah tentang Islam sebahagiannya tidak mahu berjihad atas alasan yang pelbagai. Malah, ada juga penda‘wah yang jahil mengklasifikasikan muslim yang berjihad sebagai seorang pengganas! Sepatutnya pemahaman para penda‘wah tentang jihad perlu dicerahkan kembali serta dibersihkan daripada unsur-unsur sekularisme ilmu yang dibawa melalui agenda globalisasi.

Jihad bukanlah bermaksud berperang seperti yang difahami oleh kebanyakan orang. Jihad bermaksud berjuang dengan bersungguh-sungguh. Perjuangan ini dituntut dalam Islam bagi menjaga kesucian ajaran Islam dari pelbagai sudut sama ada melalui fitnah, serangan pemikiran, peperangan, dan lain-lain. Jihad dalam bentuk perang dilaksanakan jika terjadi fitnah yang membahayakan kewujudan umat Islam, contohnya serangan dari luar. Jihad tidak boleh dilaksanakan kepada orang-orang yang tunduk kepada aturan Allah SWT atau mengadakan perjanjian damai ataupun ketaatan.

Sungguh benar firman Allah SWT:

Diwajibkan atas kamu berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

[QS al-Baqarah 2:216]

Firman Allah SWT lagi:

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).”

[QS al-Ḥajj 22:39]

Hari ini, ramai penda‘wah yang terlalu risau akan risiko-risiko duniawi yang bakal menimpa diri mereka sendiri sehingga kebenaran tentang Islam dikuburkan melalui sikap tidak mahu berjihad di jalan Allah SWT. Penda‘wah sebegini telah meletakkan garis sempadan antara da‘wah dan jihad sehingga pencerobohan golongan yang merosakkan faham Islam yang sebenar rakus meratah ‘aqidah umat Islam tanpa dipertahankan oleh sesiapa pun. Pencerobohan ke atas ‘aqidah dan syari‘at umat Islam hari ini berlaku dengan sangat jelas di depan mata para penda‘wah sehingga serangan pencerobohan oleh golongan anti-Islam seperti gerakan Zionis serta golongan pro-murtad seperti fahaman Islam Liberal berleluasa ‘merogol’ umat Islam dari aspek pemikiran dan penghayatan budaya ilmu.

Maka hari ini para penda‘wah lebih berbangga menepuk dada mengaku sebagai penda‘wah, tetapi menikus meniarap lantai tidak mahu mengaku sebagai mujahid!

*Artikel ini disyarahkan dalam kuliyyah Subuh, Isnin, 29 Jun 2009, sempena Latihan Gerak Masyarakat 2009 (LGM09) di Kampung Kubang Semang, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang dalam tajuk ‘Da‘wah dan Islam.’

[1] QS al-Dzāriyāt 51:56 “Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepadaKu.”

Dalam surah al-Naḥl ayat 36 ini, perkataan ‘abd diterjemahkan kepada menyembah. Amalan, pekerjaan atau perkhidmatan seseorang yang mengabdikan diri disebut sebagai ‘ibādāt (عبادات).

“‘Ibādāt merujuk kepada segala perbuatan, amalan atau perkhidmatan yang disedari dan dilakukan dengan sukarela dan yang ditujukan semata-mata kerana dan kepada Allah SWT, dan tiada kerana dan kepada yang lain, dan yang diperkenan olehNya, termasuk segala amalan seperti salat yang difardhukan dan yang lain pula.” Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam: Faham Agama Dan Asas Akhlak, ABIM (KL: 1977)

[2] Tafsiran ṭaghūt dalam surah al-Nisā’ ayat 51 dalam Tafsir Ibn Kathir.

[3] Ibid.

[4] Ṣahih al-Jamī’ al-Ṣaghīr

[5] Yūsuf al-Qarḍāwī, Fiqh Prioritas, Pustaka Online Media ISNET (http://www.geocities.com/pakdenono/)

[6] Ibid.

[7] Ibid.

Artikel ni diambil dari http://darahmerdeka.wordpress.com/2009/07/11/da%E2%80%98waholic/#more-555

Advertisements

Responses

  1. thanks !! very helpful post!


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: