Posted by: aKuD@iF | 12 June 2009

Dilema Liberalisasi SIS : HARAM atau BIAR

Pendahuluan

Usul pengharaman Sister In Islam (SIS) yang dibentangkan oleh Muktamar PAS baru-baru ini mengundang berjuta reaksi daripada segenap lapisan masyarakat. Isu ini menjadi lebih kontroversi apabila didepani oleh ramai politikus, sosialis, aktivis dan ulama. Dengan bermodalkan kepentingan masing-masing, usul ini dicanang merata-rata tanpa ada perbahasan ilmiah dan komprehensif sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dan kekeliruan dalam masyarakat tentang kenapa SIS patut diharamkan.

sis_logo

Namun, saya melihat banyak ruang dakwah yang dapat digapai oleh setiap aktivis dakwah apabila mendepani polemik ini. Masakan tidak, umum mungkin tertanya-tanya siapakah sebenar SIS? Dan mengapa badan ini patut diharamkan? Apakah agenda mereka? Dan siapakah penggerak-penggerak disebalik organisasi ini yang dibiayai oleh badan antarabangsa?. Inilah yang saya katakan sebagai salah satu titik mula dimensi dakwah dengan memberi imuniti kepada masyarakat mengenai serangan dakyah golongan Liberal ini seterusnya menjernihkan kembali kesucian Islam yang selama ini tercemar. Pengharaman SIS bukanlah berita yang patut diulang-ulangkan oleh media massa, tetapi pemikiran dan agenda SIS yang bertunjangkan fahaman Liberalisma itulah yang sepatutnya dijelaskan oleh media yang mana mengheret SIS kepada kecaman.

re_02_big

Antaranya, kenyataan yang dibuat oleh Dr. Asri Zainal Abidin dalam Sinar Harian (11 Jun 2009) berhubung isu ini ialah melihat PAS seolah-olah mempolitikkan Islam dan menghalang hak kebebasan bersuara apabila ingin mengharamkan SIS. Saya terkedu apabila seorang bekas mufti mengeluarkan pendapat sebegitu. Saya ingin tegaskan sekali lagi, bukan soal hak kebebasan bersuara yang menjadi isunya sekarang, tetapi lebih kepada serangan Liberalisme terhadap Islam. Apakah Dr. Asri rela melihat Islam di Malaysia diratah sedikit-sedikit oleh golongan sesat ini?

Sinisnya, terdengar juga suara-suara sumbang dalam PAS sendiri yang menentang usul tersebut. Persoalan saya, dimanakah saraf kamu yang paling sensitif apabila dicucuk jarum beracun ini? Pada iman yang selama ini disemai atau pada nafsu yang selama ini dipuja. Tepuk dada, tanya iman masing-masing.

Hampir berpuluh tahun, institusi intelektual syariah islam menjenamakan semula hukum-hukum yang sedia ada dalam Al-Quran dan As-Sunnah demi melihat masyarakat islam kembali kepada ajaran islam yang sebenar. Namun usaha ini dilihat seolah-olah mengundang persepsi negatif dan kurang senang dikalangan segelintir umat melayu-islam sendiri yang mahukan kebebasan dalam beragama sehinggakan melintasi had yang disempadani oleh syariat. Retetan ini berdasarkan timbulnya isu-isu sosial seperti fatwa pengharaman yoga dan pengharaman berkelakuan dan bertampil dengan imej berlainan jantina (isu penkid, tomboy, lesbian, makyah, pondan dan gay). Fatwa-fatwa ini semacam menjentik entiti islam dalam diri masyarakat yang selama ini berhibernasi.

LETTERS_SIS_FATWA

Malah lebih teruk lagi ada segelintir badan NGO yang berlabel Islam menempelak fatwa-fatwa tersebut. Mereka membidas kerelevanan hukum tersebut dan menuduh ianya berkepentingan pihak tertentu. Padahal mereka bukan ahli (bukan arif dan tidak berautoriti) dalam menentukan hukum syariat tersebut. Dan ini termasuklah organisasi SIS yang berhujah isu pengharaman ini menindas hak kebebasan bersuara. Atas dasar inilah golongan ini yang beraliran Islam Liberal terus menerus meracuni pemikiran muda mudi khususnya feminis dalam mempersoalkan hukum yang telah nyata ditetapkan oleh Allah.

Lantas bangkitlah sebilangan golongan lain yang bukan Islam kononnya bersimpati atas nasib umat islam yang ditindas oleh syariat Islam. Mereka sanggup mengeluarkan bajet yang besar untuk memastikan agenda Liberalisasi Islam di Malaysia berhasil. Mengapa mereka teruja untuk campur tangan dalam urusan agama Islam sedangkan mereka buta terhadap indahnya Islam itu? Jarum kesemarataan gender terus dicucuk seolah-olah membakar semangat perjuangan membela muslimah. Sebenarnya, apa yang mereka perjuangkan? Tidak cukup lagikah Islam sebagai platform membela setiap ahlinya. Dan sejarah membuktikan kedatangan Islam mengangkat darjat wanita sebagai insan yang sama-sama mempunyai hak tertentu dan keistimewaan tersendiri yang tidak boleh dipertikaikan. Disinilah intipati Tauhid diuji dalam menyakini Keadilan Allah dalam penciptaan makhluk.

Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 30. Mafhumnya:
“Sebahagian diberiNya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung (mereka) selain Allah, dan mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk”


Sejarah ringkas pertubuhan SIS

Sister In Islam (SIS) adalah satu perkumpulan wanita muslim yang kebanyakan dianggotai oleh isteri-isteri menteri kerajaan dan wanita yang bekerjaya besar. Dibentuk pada tahun 1988 dan didaftarkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada tahun 1993 atas nama SIS Forum (Malaysia) Berhad. Dan nama Sister in Islam menjadi ‘authorship’ mereka. Di awal pertubuhan mereka, organisasi ini mempromosikan prinsip islam yang sebenar dalam menekankan aspek kesamarataan gender. Tetapi, golongan ini yang kebanyakkannya tidak bertudung, sewenang-wenangnya mentafsir ayat-ayat Al-Quran dan Hadith mengikut logik akal dan ilmu mereka yang dangkal. Mereka berlagak seperti pakar bedah Al-Quran yang lebih hebat berbanding para ulama yang mendapat pengajian ilmu Al-Quran secara formal. Pada mereka, pentafsiran yang dibuat oleh ulama-ulama muktabar itu menzalimi sifat wanita. Sebenarnya mereka ingin menzahirkan yang Al-Quran itu novel yang menindas hak wanita.

SIS


Isu mereka berkisarkan hal-hal feminisma seperti hak-hak wanita dalam keluarga, poligami, diskriminasi wanita, pembahagian faraid dan lain-lain lagi. Yang melucukan, mengapa mereka tidak menyentuh punca gejala sosial wanita dan pencegahannya? Seperti penutupan aurat, pendidikan wanita, tanggungjawab wanita bekerjaya dan lain-lain lagi.Jika mereka benar-benar telus dalam perjuangan mereka. Ini tidak, SIS lebih suka menimbulkan salah faham dalam kerangka berkaitan wanita islam dan bukan menjelaskan hal yang sepatutnya berpandukan tafsiran sebenar Al-Quran dan As-Sunnah. Atas dasar inilah, agenda mereka dalam menimbulkan dakyah kesesatan ini harus dihentikan dengan pengharaman kumpulan ini.

SIS yang membawa agenda Islam Liberal yang menekankan sirip-sirip kebebasan dalam menafsirkan syariat Islam dan menstrukturkan semuala islam tanpa merujuk kepada jumhur ulama ahlul Sunnah wal Jamaah. Penafsiran semula islam ini dikenali sebagai Islam Progresif yang seangkatan dengan Islam Liberal. Sebab itu, kita tidak asing lagi dengan Zainah Anwar yang merupakan graduan Fletcher School of Law and Diplomacy dan mendapat Master daripada Universiti Tuft dalam bidang Journalism dan Hubungan Antarabangsa. Beliau adalah pengarah eksekutif SIS suatu ketika dulu dan sekarang berkemungkinan besar masih lagi aktif dalam meneruskan agenda SIS. Walaupun beliau berkelulusan tinggi, namun tidak ada hak baginya untuk membincangkan perkara pokok yang telah nyata hukum dan perlaksanaanya dalam Al-Quran dan Hadith.

Penglibatan Agensi Antarabangsa

Permulaannya, gerakan Islam Liberal ini didokong kuat oleh pertubuhan Kristian Fundamental seperti RAND Corp, Asia Foundation, Pathfinder Fund, Ford Fund dan Soros Foundation. Mereka menyediakan platform awam untuk menyampaikan agenda mereka. Serangan mereka lebih tertumpu kepada negara yang masih mengamalkan Islam Fundamental (Islam yang sebenar). Disamping itu juga, mereka membawa sekali fahaman sesat pluralisme (anggapan semua agama ini sama sahaja termasuk Islam, bermakna kesucian Islam itu tiada), sekularisme (pemisahan pendidikan,pemerintahan,politik dan ekonomi daripada Islam) dan hak kebebasan manusia (yang sebenarnya menindas golongan tertentu). Kerajaan Amerika melaung-laungkan demokrasi ciptaannya dengan garapan sang yahudi Laknatullah beserta fahaman-fahaman tersebut tetapi realitinya mereka merogol hak-hak tersebut. Lihat sahaja hak wanita yang berkahwin di Amerika, mereka hilang identiti dan mengikut nama suami. Golongan peribumi Red Indians dihapuskan dengan terancang dan dasar perkauman masih terus diapi-apikan. Dan organisasi sosialis dan liberal kita di Malaysia masih lagi menjadikan mereka sebagai role model. Sungguh mengaibkan.

2004090809a

RandCorpbook

Kemuncak MUSAWAH di Malaysia

Kita semakin tersentak apabila SIS menganjurkan program MUSAWAH (Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family) baru-baru ini 13 Februari 2009 di hotel bertaraf 7 bintang sekitar Kuala Lumpur. Disana, pendokong anutan Liberalisme dan Orientalis berkumpul membincangkan hal-hal berkaitan islam. Ianya seolah-olah seperti berkumpulnya atlit gimrama untuk membincangkan strategi permainan bola sepak. Inilah yang dinyatakan oleh cendekiawan agung, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mengungkapkan masyarakat kita harini menjadi bangsa yang hilang adab, memperlekeh ulama-ulama silam muhaqqiqin.

logo-en

Pertemuan itu dihadiri oleh Muhammad Khalid Masud (Pengerusi Majlis Ideologi Islam Pakistan), Farida Bennani, Sana Benachour, Hussein Muhammad, Ziba Mir-Hosseini, Zainah Anwar, Siti Musdah Mulia, Nur Rofia dan lain-lain lagi termasuklah aktivis bukan islam seperti Cassandra Balchin. Pembaca boleh membuat sedikit pembacaan lanjut daripada senarai nama-nama tersebut dan melihat sendiri agenda dakyah yang dibawa oleh mereka di negara masing-masing. Disamping itu lebih 200 Liberalis Muslim telah dijemput dari 30 buah negara bagi menjayakan program tersebut.

Planning%20Committee

Perjumpaan tertutup itu memberikan kita satu mesej tersembunyi yang dibawa oleh mereka dengan tidak membenarkan agensi luar dan NGO Malaysia turut serta dalam program tersebut. Berpangkalan di Malaysia, semestinya memberi tanggapan dan imej yang buruk terhadap negara Malaysia yang dalam usaha mengembalikan kesucian Islam dan Undang-undang Syariah. Semasa awal berlangsungnya program tersebut, Jabatan Agama Islam di setiap negeri membisu dan tidak tahu mengenainya. Ditambah pula dengan pihak JAKIM yang tahu keesokkan harinya apabila bantahan MUSAWAH dibuat oleh badan NGO Islam yang prihatin. Disini saya lihat kredibiliti JAKIM selaku badan Islam dalam kerajaan, lesu dalam membuat pemantauan. Apatah lagi, program MUSAWAH ini dirasmikan oleh seorang menteri wanita melayu-Islam. Sebab itulah SIS masih kebal terhadap kecaman dan undang-undang kerana ramai pembela muslim Liberal ini masih membela kesinambungan fahaman mereka ini.

Sepatutnya, penganjuran program ini terlebih dahulu merujuk kepada Badan yang berautoriti dalam hal ehwal berkaitan agama Islam seperti JAKIM dan Majlis MUFTI. Penyelaran MUSAWAH ini dikhuatiri dibiayai oleh gerakan Liberalisme Antarabangsa tertentu kerana dana yang disalurkan amat besar.

Kertas kerja yang dibentangkan semasa perjumpaan tersebut dilihat berhajat untuk menginterperentasikan semula Al-Quran dan As-Sunnah daripada sudut pandangan wanita yang selama ini dibiaskan kepada lelaki. Dan ini bakal merubah kesucian Al-Quran dengan menyatakan bahawa Al-Quran mampu ditafsirkan oleh sesiapa sahaja kerana Al-Quran diturunkan kepada semua manusia. Padahal, untuk mentafsirkan satu perkataan sahaja daripada Al-Quran, memungkinkan ulama-ulama silam merantau mencari ilmu dan guru untuk mendalaminya. Bukan sambeorono sahaja untuk menterjemahkannya. Tambahan pula, ianya dihadiri oleh Amina Wadud yang mencetuskan kontroversi mengimami solat Jumaat suatu ketika dulu.

Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 33. Mafhumnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad), Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan keji sama ada nampak mahupun tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) memepersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu dan mengharamkan berbicara berhubung dengan Allah apa yang tidak kamu ketahui”


Haram bukan satu penyelesaian?

Ramai blogger mula memperkatakannya. Melihat penghapusan SIS sebagai satu pencabulan kepada hak demokrasi dan kebebasan bersuara. Sesetengahnya mencadangkan agar SIS ini menukar namanya kepada Sister In Malaysia. Mereka berhujah bahawa jika SIS ini bertukar nama, ia memberi gambaran sebarang reaksi dan dakyah yang disampaikan oleh SIS bukan lagi atas nama Islam. Dan ini tidak mencemarkan Islam. Mereka mengkritik islam sedangkan mereka tidak membawa imej islam pada nama organisasi mereka. Apatah lagi jika diharamkan, ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat kita, kemungkinan berlaku demostrasi besar-besaran dan negara menjadi huru hara. Isu ini juga tidak akan selesai, apabila SIS yang dihapuskan, tidak mustahil akan bercambah kembali atas nama yang berlainan. Apatah lagi, mereka dibiayai dengan dana yang cukup besar. Apabila saya fikir, ada benarnya juga hujah itu.

Tetapi sampai bilakah ianya harus dibiarkan? Kita umat islam yang sedar ini hanya mengambil langkah defensif sahaja. Terus menerus bertahan dan memberikan kefahaman sebenar kepada masyarakat tanpa memusnahkan sumber utama punca tersebarnya dakyah sesat tersebut. Sepatutnya kita lebih bersikap agresif dan ofensif dengan SIS. Dan usul pengharaman SIS merupakan salah satu langkah terbaik sebagai permulaan. Disusuli dengan pemulihan ahli-ahlinya dengan akidah Islam sebenar secara ilmiah dan berhikmah. Untuk mengelak timbul lagi pembiasan gender, ia harus dimonopoli oleh Muslimah yang thiqah terutama daripada Nisa’, Dewan Muslimah PAS dan NGO muslim yang lain. Kaedah pemulihan bukan bererti menghumban mereka kedalam penjara atau diperlakukan semacam tahanan. Cadangan saya, kita menyediakan platform untuk mereka berbincang, berdiskusi dan mendekati fahaman mereka. Seterusnya membetulkan salah faham tersebut. Merangka satu program khas, kelas mingguan atau apa-apa sahaja yang dirasakan sesuai. Biarlah ruangan itu dipenuhi dengan kabus emosional tetapi ada lampu-lampu rasional sebagai sumber untuk mereka bertanya dan berbincang serta mendapatkan kepastian. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi apabila membicarakan soal akidah dan syariat Islam.

ayahpin28xo

Ajaran-ajaran sesat seperti ajaran ayah Pin, rasul melayu palsu Kahar dan gerakan Al-Arqam yang suatu ketika menggemparkan negara kini hampir hilang umbinya. Saya mengambil contoh gerakan Al-Arqam. Boleh dikatakan, hampir separuh umat Islam Malaysia menyertai pertubuhan tersebut. Pada awalnya, ia berkisarkan soal-soal dakwah dan pembangunan ekonomi umat Islam. Tetapi apabila dipimpin oleh segelintir orang yang berkepentingan peribadi, timbullah pelbagai kesesatan yang selama ini berselindung disebalik kejernihan imej umat Islam ketika itu. Lantas menjadi ancaman kepada akidah umat islam kerana menabur fitnah kepada Rasulullah. Saya tidak akan mengulas lebih lanjut soal ini. Yang saya cuba tekankan disini, adalah apabila gerakan Al-Arqam diharamkan, ahli-ahlinya berpecah dan mencari identiti baru mereka. Dan saat itulah, sebilangan gerakan Islam yang prihatin mendekati mereka dan memberi faham akan mereka kepada kebenaran. Hingga saat ini, saya pasti, walaupun ada ura-ura untuk menghidupkan kembali gerakan tersebut walaupun namanya mungkin sahaja berlainan, tetapi jika pemantauan berterusan dapat dibuat, fahaman yang terpesong ni dapat dibendung penularannya.

Insya Allah, mungkin hal yang sama juga boleh dilakukan terhadap SIS. Soal SIS dibiayai oleh agensi luar negara itu, kita sandarkan pada Ketentuan Allah dan peranan yang akan dimainkan oleh pemimpin negara. Apa yang penting, usah biarkan virus feminisme tajaan barat ini terus menjadi wabak dalam masyarakat kita. Lakukanlah sesuatu, terutamanya NGO Muslimah. Ini tidak, NGO Muslimah lebih kepada mengejar untuk menduduki pimpinan atas sesuatu organisasi. Mendominasi idea dan keputusan organisasi. Tapi gerak kerjanya kurang. Mereka seolah-olah sama sahaja dengan SIS. Saya tidak katakan semua NGO Muslimah sebegitu, tetapi ada yang macam itu. Tidak salah untuk memberi respon dan pendapat, tetapi biarlah beradab dan pastikan amanah yang dipegang itu dilaksanakan sebaiknya dahulu.

Keterlibatan NGO Muslimah ditagih

Saya memetik satu kenyataan selepas Muktamar PAS baru-baru ini, yang meyelar tindakan pimpinan parti memencilkan peranan Nisa’ dan Muslimah PAS dengan memberi sedikit sahaja tugasan dan kedudukan dalam parti. Persoalan saya, apakah mereka ni hanya menunggu arahan atasan semata-mata jika peluang dakwah di depan mata dibiarkan begitu sahaja? Seperti soal penutupan aurat kalangan remaja dan wanita, soal rumahtangga kerana kurang fahamnya hak dan tanggungjawab suami isteri dan kelemahan soal pendidikan anak-anak yang semakin lama melahirkan anak-anak yang biadap terhadap pegangan agama mereka. Gerak kerja ini yang sepatutnya diteliti dan diperhalusi serta digerakkan terlebih dahulu. Barulah menyentuh soal kenaikan harga minyak dan isu-isu besar dalam negara yang memerlukan daya rasional yang mantap, abiliti (kekuatan) yang tinggi dan komitmen gerak kerja yang seragam. Apatah lagi, jika kalangan mereka ada yang telah berkahwin, bebanan tanggungjawab mereka lebih terarah kepada soal rumahtangga.

Realistiknya, ia bukan soal tugasan, tetapi lebih kepada amanah yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah kelak. Sepatutnya mereka lebih selesa kerana diberikan ruang lingkup tertentu untuk jalankan gerak kerja dakwah. Yang dapat menghindari daripada fitnah dan mehnah yang berat. Saya amat berharap agar semua NGO Muslimah lebih banyak terlibat dalam soal ini dan secara tidak langsung meredakan sedikit ancaman yang dibuat oleh SIS. Mereka bukan sahaja merosakkan pemikiran anak-anak muda kita tetapi meletakkan negara kita berdepan dengan isu sosial dan akidah yang lebih parah.

Kesimpulan

Justeru, peranan setiap umat islam seharusnya digerakkan dalam kerangka kondisi masing-masing. Bukan hanya melihat dan melatah di kemudian harinya. SIS yang membawa fahaman Liberal dan menjadikan Islam di Malaysia sebagai tubuh untuk membiakkan virus-virus kesesatan tersebut sepatutnya diharamkan. Mereka berkhayal yang mereka lah pejuang ummah Islam yang unggul, tetapi hakikatnya mereka menjadi keldai tunggangan Imperialisme Barat. Diharap agar kerajaan Malaysia mengambil hal yang serius berhubung isu ini.

bukukontroversi






















Rujukan:
1) Al-Quran, Surah Al-A’raf:30,33.

2) Risalah-risalah SPAQ berhubung isu Liberalisasi Umat Islam.

3) Kenyataan dalam Akhbar Sinar Harian.

4) Kenyataan dalam Harakah Daily.

5) Kenyataan dalam Star Online.

6) Isu MUSAWAH dalam majalah Milenia Muslim edisi Mei 2009.

7) Laman Web Sister In Islam (http://www.sistersinislam.org.my).

9) Laman Web MUSAWAH (http://musawah.org).

10) Blogger Zulkifli Nordin.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: