Posted by: aKuD@iF | 15 April 2009

Jalan Seorang Isteri

Ada orang gagah meredah lautan, tapi lemah mencari jati keimanan. Ada juga yang menang di medan juang, namun kalah di medan perasaan.

Tidak kurang yang tidak berharta, tapi kaya budi dan tidak miskin jiwa. Juga ramai di luar sana yang punya segala-galanya, namun kurang kasih mesra untuk keluarga.


Setiap cerita punyai dua sisi berbeza. Sisi bahagia dan sisi derita. Semua itu bukti Allah Maha adil lagi Maha Sempurna. Bahagia atau derita, kembalikan segala urusan kepada Nya. Munajatkan bantuan dan petunjuk sentiasa.

“ Ya Allah, andai keputusan yang kuambil ini baik untuk duniaku dan akhiratku, Engkau permudahkanlah ia, namun jika sebaliknya berilah aku petunjuk Mu agar aku tidak rugi di sini juga akhirat sana. Bantulah aku, tolonglah aku. Tiada sebaik-baik Penolong melainkan Engkau.”

YAKIN DAN BAIK SANGKA

“Awak berani ye Ina, buat keputusan berhenti dari mengajar, “ luah Cikgu R.

“Tak bimbang ke dengan masa depan ?” Cikgu A pula mencelah. Nampaknya berita yang saya akan berhenti kerja, sudah sampai ke pengetahuan ramai penghuni di sekolah SA.

Saya menarik nafas dalam sambil mata melihat ke luar tingkap bilik guru. Dua tiga pelajar yang lalu lalang, sempat menoleh. Melempar senyum dan melambai tangan. Saya membalas juga dengan senyuman.

“Berani atau tidak, bukan persoalannya kak, “ saya memulakan balas kata. “ Saya bertindak atas realiti hari ini. Suami saya sibuk, banyak tanggungjawabnya. Keluar bekerja pagi hari, kemudian pulang bersiap pula untuk Kuliah atau ceramah. Anak-anak pula lebih separuh hari mereka hanya dengan kakak-kakak nurseri. Pernah mereka bertanya, bila Ummi nak berhenti kerja?“ saya menambah sambil merenung rakan-rakan yang khusyuk mendengar.

“Biarlah saya berhenti. Anak-anak gembira dan suami juga tenang menabur manfaat demi agama. Tentang masa depan, saya dan suami akan berusaha merancang dan kami serahkan pada Allah untuk menentukan. Tiada siapa yang mengharapkan hari depan yang suram. Dari dulu, saya telah didik diri untuk yakin dan baik sangka padaNya. Setiap kesusahan pasti ada kemudahan.” Saya menutup bicara dan mohon berlalu untuk bertemu Pengetua.

NILAI PENGORBANAN

“ Awak dah fikir masak-masak ke? “ tanya pengetua sekolah, sebaik saya duduk di kerusi berhadapan. Sengaja saya memilih masa kosong selepas rehat untuk berjumpa beliau, seorang yang dikenali di kalangan orang-orang besar Kementerian Pelajaran juga bergelar Pengetua Kanan.

“ Orang selalu bercakap wanita yang berhenti kerja sebagai mereka yang melakukan pengorbanan untuk keluarga. Hakikatnya, kami yang bekerja inilah yang berkorban. Meninggalkan anak-anak demi kemajuan bangsa dan negara. Wanita yang tak bekerja, apa sumbangan mereka ?” Luahnya lagi seraya melempar senyuman sinis.

Tidak pernah pula saya menghakimi nilai pengorbanan seorang perempuan, baik yang berkerja mahu pun surirumahtangga. Bagi saya berkorban ada makna yang pelbagai. Apa yang penting, nilaiannya di sisi Allah.

Berkorbanlah, seumpama pengorbanan Asiah, isteri Firaun. Sanggup bergadai nyawa demi keyakinan dan iman pada Yang Esa. Berkorbanlah, sebagaimana Maryam, ibu nabi Isa AS. Sanggup menanggung payah melahirkan, kemudian dihina dan dicerca lantaran anak tidak berbapa.

Berkorbanlah, seperti pengorbanan Khadijah. Berhabis harta demi kelansungan dakwah Rasulullah tercinta. Berkorbanlah seumpama Fatimah. Tanpa keluh kesah, menguruskan rumah tanpa pembantu dan alatan mewah. Dan berkorbanlah, sebagaimana ramai lagi srikandi Islam lain yang yakin dengan Hari Perhitungan.

SURIRUMAH VERSI BARU

Pengalaman mengajar di sekolah menengah beberapa ketika dulu memperlihatkan kepada saya kepada pelajar-pelajar yang baik adab dan akhlaknya. Kebanyakan mereka ini datang dari keluarga yang mana ibu-ibu mereka merupakan surirumah sepenuh masa. Justeru itu, jangan sesekali menafikan sumbangan seorang wanita bergelar surirumah. Mereka berperanan membentuk modal insan untuk masa depan agar nanti lahirnya seorang ketua yang amanah,pemimpin yang takutkan Allah, guru yang berhemah dan sebagainya.

Tambahan pula di zaman dunia tanpa sempadan ini, peranan seorang surirumah boleh sahaja dikembangkan di luar kerangka tugas rumahtangga. Mereka boleh mendidik melalui penulisan dengan menghasilkan buku-buku, berdakwah menerusi blog dan majalah, terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain lagi. Pendek kata, sumbangan mereka boleh dipelbagaikan secara lansung dan tidak lansung melalui suami, anak-anak dan kaum keluarga.

Adapun kepada wanita yang berkerjaya, teruskan tugas dan tanggungjawab anda, namun jangan pernah mengabaikan keluarga kerana kerja. Rumahtangga akan hancur dan anak-anak menjadi penyumbang kemusnahan. Amat mendukacitakan, seorang ibu yang begitu berjaya menyumbang secara langsung kepada sebuah organisasi, sekolah, unversiti, syarikat dan lainnya tetapi tidak mampu menyumbang secukupnya buat suami dan anak-anak tercinta, sedangkan keluarga adalah paksi kehidupannya.

JALAN KITA BERBEZA

Akhirnya, jalan kita berbeza. Walaupun begitu, bekerja atau tidak bukanlah perdebatan utama. Pokok pangkalnya, usaha dan ikhtiar berterusan untuk melahirkan sebuah keluarga bahagia dan seterusnya menyumbang kepada keutuhan masyarakat dan keamanan negara. Biarpun nanti, hasil yang ingin dicapai tidak menepati apa yang dihajat.

Boleh saja, anak-anak wanita yang berkerja lebih baik dari anak-anak surirumahtangga. Demikian juga sebaliknya. Namun, jangan putus harap. Bukan kesempurnaan yang kita cari, tapi kebaikan berterusan demi kasih sayang Ilahi. Mudah-mudahan, bila mereka tersalah jalan suatu hari nanti, hidayah Allah menyuluh agar mereka kembali ke pangkalnya, amin.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Artikel ini diambil daripada blog http://ummuhusna99.blogspot.com/

Advertisements

Responses

  1. soal wanita itu bekerja di luar rumah atau di dalam tak timbul.seorang wanita yang sepenuh masa di rumah, kerjanya juga banyak. cuma kebijaksanaannya sahaja yang boleh membantu dia menyelesaikan tugas-tugas ni. antara amanah, tanggungjawab, hak, tugas, ke atas dirinya, suami dan juga anak-anak…

  2. tiket syurga seorang bagi isteri berada di tangan suami. ini kerana laluan isteri utk masuk ke syurga bergantung pada sejauh mana suami redha terhadap mereka dalam keadaan mereka patuh kepada suruhan Allah yang lain..

  3. Terima kasih saudari. Begitu juga tiket syurga untuk suami. Sehebat mana pun amal soleh si suami, jika dia dayus dalam menegur isterinya melakukan kesalahan amatlah payah untuk dirinya mencium bau syurga. Sebab itu, dalam perkahwinan amat perlu keselarian daripada segi fikrah. Janaan idea yang berbeza antara suami isteri merupakan satu rahmat dalam proses tarbiyah sebuah keluarga bahagia dalam mencontohi keperibadian keluarga Ahlul-Bait dan Sahabat-Sahabat Rasulullah.

  4. Seperti yang saya nyatakan dan amat saya tegaskan disini, soal wanita itu berkerjaya atau tidak itu tidak perlu dipertikaikan keputusannya. Soalnya di sini bagaimana seseorang wanita itu memikul amanahnya sebagai seorang isteri yang benar-benar melandasi warisan peribadi Siti Khadijah dan Siti Aishah. Jadi keputusan yang bijak haruslah diambil kira dengan menimbang tara kemampuan, keadaan semasa keluarga, kewangan dan hal-hal peribadi pasangan, sama ada ingin terus berkerjaya ataupun tidak. Pada pendapat saya, amatlah perlu seorang surirumah sepenuh masa agar anak-anak terdidik dan dipantau sentiasa. Mungkin beberapa gejala sosial yang berlaku dikalangan remaja, kes penderaan, penceraian dan penzinaan yang kerap terjuih di bibir akhbar mempengaruhi keputusan isteri untuk teruskan kerjayanya ataupun tidak. Isteri yang bekerja (dalam atau luar rumah) haruslah komitmen dengan tanggungjawab yang dipikul dengan memastikan sekolah pertama anak-anak beroperasi dengan sempurna disamping menjadi pengecas semangat sang suami dalam gerak kerja dakwah dan pencarian nafkah. Dakwah itu luas. Berkerja sebagai engineer pun ada ruang dakwah disitu, penganggur pun ada jalan dakwahnya, apatah lagi menjadi seorang isteri, lagi besar pengertian dakwah dan sasaran utamanya adalah anak-anak dan sesama feminis sendiri. Terima Kasih atas komen membina saudari.

  5. saya juga setuju dgn kamu bila kamu nyatakan amat perlu seorang surirumah sepenuh masa dlm hal mndidik dan memantau anak2. kerana di sini lah semuanya bermula. perlu juga dipertimbangkan, kadang2 keadaan memaksa isteri utk membantu suami dalam urusan kewangan dan itu adalah lahir dari hati isteri untuk membantu suami, tetapi perlu lah berbincang terlebih dahulu. tetapi adalah wajib utk isteri berhenti kerja jika diminta suami walau apa keadaan sekalipun.

    kita mahu lahirkan anak yg betul2 terdidik dgn ilmu agama yg secukupnya, jd teramat penting tanggungjawab isteri dlm urusan anak2 dan suami. isteri yg keja sepenuhnya di rumah juga mmpu berdakwah, menerusi blog, article2 yang dipost kan tu dpt sedikit sebanyak menjadi panduan dan pengajaran kpd sesiapa yg membaca. walaupun nmpak kecil, tp ia amat bermakna dan terkesan.

  6. nice post..teruskan berdakwah melalui penulisan…

  7. anak-anak cerminan peribadi ibu bapa..~~


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: