Posted by: aKuD@iF | 2 January 2009

1430 Hijrah

Setahun sudah berlalu, kenangan tahun 2008 ditinggalkan. Ada yang manis tidak kurang pula yang sedikit tragis. Ramai antara kita mengabdikan segala pahit manis itu hanya sekadar kisah semalam tanpa azam untuk menginjak kepada perubahan yang lebih baik.

Pelbagai kisah mewarnai memorial 2008. Malah ada yang beranggapan bahawa tahun 2008 adalah sial. Dengan kemelesetan ekonomi dunia yang teruk dan bencana alam yang bertimpa-timpa menjadi igauan ngeri kepada kita. Malaysia tak terkecuali daripada musibah ini. Antaranya kekotoran politik negara, ketidakstabilan ekonomi dan harga minyak, kes penceraian, bunuh, zina dan gejala sosial yang semakin meningkat serta kebangkitan golongan non muslim yang mencampuri urusan Syariat Allah dengan dasarnya Hak Asasi Manusia.

Pernahkah antara kita terfikir yang musibah itu semua adalah ujian daripada Allah untuk menguji iman kita? Hairankan, semakin jauh kita daripada Allah, semakin dekat Allah dengan kita? Itulah Allah, Tuhan yang Maha Esa yang Maha Penyayang. Dia menguji kita saat kita lupa pada Nya dengan mengejar dunia semahu-mahunya supaya kita ingat pada Nya, kembali pada Nya. Cuba tanya hati kita, sejauh mana kita sayang pada Allah? Seteguh mana kita menuruti perintah Nya dan meninggalkan larangan Nya?

Sambutan awal tahun baru masihi dan hijriah amat berbeza sekali gambarannya dalam masyarakat. Masyarakat seolah-olah lebih cenderung untuk menyambut awal tahun baru masihi daripada tahun baru islam. Ada yang membawa keluarga bersiar-siar tengok bunga api, menghadiri konsert, melepak bersama kawan-kawan dan bermadu kasih. Malah jenayah kadang-kadang terjadi seperti rompakan, lumba haram, judi dan minum arak. Boleh dikatakan, setiap permulaan tahun baru inilah, akar gejala sosial mula bercambah. Masakan tidak, tunggu sahaja 8 hingga 10 bulan, pasti dada-dada akhbar penuh sesak dengan kes kelahiran anak luar nikah.

Mengapa tidak masyarakat pada hari ini kembali kepada fundamentalisme islam yang sebenar? Sepatutnya sambutan Maal Hijrah yang penuh dengan elemen-elemen pembangun jiwa seperti retetan hijrah Rasulullah menjadi satu santapan permulaan awal tahun kepada masyarakat. Ini dapat dilihat dengan jelas pada 1 Muharram baru-baru ini, masjid-masjid kelihatan lengang dengan jemaah dan ceramah-ceramah agama kelihatan lesu kehadirannya. Inilah realiti masyarakat muslim Malaysia. Hanyut dibelai gelombang dunia tanpa sedar diri akan terdampar kesunyian nanti di pantai perhintungan amal yang penuh kepayahan.

Nilai sentimental pada 1430 Hijrah sepatutnya perlu ada pada setiap masyarakat muslim yang inginkan perubahan yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Nilai sentimental itu haruslah dilandaskan dengan syariah Allah dan diperhalusi dengan pemikiran yang lebih matang dalam mencerminkan akhlak yang terpuji pada tahun ini.

Apakah nilai sentimental itu? Satu perasaan dalam diri, yang merangkumi konsep pengorbanan, kasih sayang dan cinta pada islam untuk melihat diri sendiri dan masyarakat tidak mengulangi lagi dosa-dosa semalam. Payah untuk menghayati nilai ini andai hati masih ditutupi kabus dunia. Tapi percayalah, cubalah antara kita memperbaiki kesalahan dulu dengan istiqamah, doa dan tabah demi meraih sejuzuk redha Allah. Insya Allah, perjuangan kita membentuk kesucian jiwa diri sendiri dan masyarakat mengangkat diri kita disisi Nya ke martabat Takwa.

Jelas di sini, saya berpesan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat semua, yakinlah akan Allah itu sentiasa bersama kita selagi kita mengharap pada Nya. Janganlah berputus asa dalam ujian Nya kerana Allah sentiasa sayang pada kita, Dia menguji iman kita untuk melihat sejauh mana cinta kita pada Nya.

Jadikan permulaan tahun ini sebagai satu penghijrahan dalam diri kita untuk mencari redha Allah Taala. Konsep pengorbanan yang ditunjukkan oleh umat islam terdahulu perlulah dijadikan iktibar agar masyarakat madani yang lebih islamik dapat dicorakkan.

Salam Maal Hijrah 1430 H

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: