Posted by: aKuD@iF | 28 October 2008

Pendidikan anak-anak, sejauh mana keprihatinan kita?

Nur Amalina Che Bakri, Nadiah Amirah dan Azali Azlan? Siapakah mereka? Nama-nama ini merupakan insan remaja yang suatu ketika pernah membanggakan negara dengan pencapaian akademik yang luar biasa. Tumpuan dan perhatian yang diberikan kepada mereka juga luar biasa. Hasil pencapaian tersebut, mereka telah diberikan pelbagai anugerah dan juga biasiswa pendidikan yang baik.

Sedarkah kita bahawa peratusan penduduk paling tinggi dinegara ini adalah terdiri dari golongan remaja? Tahukah kita disebalik kejayaan ini, terdapat sebilangan besar golongan remaja yang sebaya dan seagama dengan mereka turut mencipta ‘kejayaan’ di bidang lain namun tiada ‘biasiswa pendidikan’ yang diterima. Antaranya ‘kejayaan’ mereka yang kurang diberi perhatian sewajarnya adalah ‘kejayaan membunuh ahli keluarga sendiri untuk kepentingan diri, menagih dadah dan tidak ketinggalan kejayaan dalam bidang penipuan melibatkan jutaan ringgit’. Akibat ‘kejayaan’ yang mereka hasilkan, mereka telah diberi hukuman yang menurut kajian belum dapat dipastikan sama ada hukuman tersebut berjaya atau tidak. Bagi isu kali ini, rasanya tidak perlu lagi dibincangkan kejayaan Nur Amalina dan seangkatan dengannya memandangkan sudah banyak ulasan tentangnya dilakukan sebaliknya biarlah isu ‘kejayaan’ sebilangan besar rakan yang seangkatan dengan Amalina dijadikan topik perbincangan.

Statistik dari Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), dalam tempoh 10 tahun lepas memperlihatkan corak perubahan yang ketara apabila kes juvana meningkat daripada 4,931 pada tahun 1994 kepada 5,562 pada tahun 2003, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus.

Menurut statistik jenayah yang dilaporkan, golongan remaja merupakan pelaku yang paling tinggi dicatatkan dan yang paling memalukan remaja Islam menjadi johan dalam senarai perangkaan tersebut. Apakah puncanya? Apakah mereka ini tidak mendapat pendidikan akademik dan sahsiah seperti yang diterima oleh rakan-rakan seperti Amalina dan yang lain? Persoalan yang bukan sahaja perlu difikirkan malah perlu diambil jalan bagi menyelesaikannya.

Golongan remaja merupakan produk makanan dan bahannya adalah golongan kanak-kanak dan bagaimanakah pula dengan perencahnya?

Zaman kanak-kanak sering dikatakan sebagai suatu zaman yang indah dan menyeronokkan. Sekiranya masa boleh diputarkan dan kita boleh memilih, pasti ramai yang akan memilih untuk mengulangi zaman kanak-kanak. Zaman yang dipenuhi dengan belaian dan manjaan. Jean Piaget berpandangan bahawa zaman kanak-kanak ibarat sepohon pokok yang berbunga yang dikelilingi oleh pohon tidak berbunga yang lain. Pohonnya sentiasa menjadi tumpuan. Segala yang diminta pasti akan dipenuhi dan mereka juga tidak perlu risau memikirkan masalah yang sedang mereka alami malah mereka juga belum mengerti erti masalah dalam kehidupan.

Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang paling penting dalam kehidupan setiap insan. Pada peringkat ini, otak mereka yang masih bersih dari sebarang ‘pencemaran’ mudah menerima pengajaran yang diberikan kepada mereka. Pada masa ini, pembentukan skema pengetahuan berlaku dan berkembang dengan pesat dan ketika inilah individu yang terlibat dalam proses mendidik dan mengasuh perlu bijak mengambil peluang bagi menyediakan kanak-kanak ini dengan ilmu yang sepatutnya mereka miliki. Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa kanak-kanak ibarat sehelai kain yang putih bersih dan ibubapalah yang akan mencorakkannya. Proses mencorakkan kain putih tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Pelukis batik yang handal juga memerlukan masa untuk menghasilkan sehelai kain yang cantik. Sabda Rasulullah SAW:

‘ Kanak-kanak itu dilahirkan suci murni, maka ibu dan ayahnyalah yang akan menjadikan ia Nasrani, Yahudi, Majusi atau seorang yang tidak mempercayai akan kewujudan Tuhan ’.

Kualiti produk yang terhasil bergantung terhadap jenis bahan yang digunakan serta perencah tambahan yang dimasukkan. Begitu juga dengan kanak-kanak. Personaliti yang terhasil apabila mereka sudah remaja dan seterusnya dewasa adalah hasil dari proses asuhan dan didikan yang mereka terima semasa di zaman kanak-kanak. Apakah yang diperlukan oleh kanak-kanak bagi menjadi remaja yang berketrampilan dengan ilmu pengetahuan yang tinggi sekaligus mempunyai prinsip akhlak yang mulia?

Dalam proses persediaan kanak-kanak untuk meniti usia remaja mereka, ibubapa, guru dan masyarakat perlu mengambil peranan dalam menyediakan perencahnya. Berdasarkan Surah Al-’Ashr, kita dapati ada tiga bentuk pendidikan untuk membolehkan  manusia selamat daripada kehinaan dan kerugian.

”…..keselamatan manusia daripada kerugian dan azab dapat dicapai melalui tiga bentuk pendidikan berikut: Pertama, pendidikan individu yang membawa manusia kepada keimanan dan ketundukan kepada syariat Allah SWT, serta beriman kepada yang ghaib; kedua, pendidikan diri yang membawa manusia kepada amal saleh dalam menjalani kehidupan seharian; dan ketiga, pendidikan masyarakat yang membawa manusia kepada sikap saling berpesan  dalam kebenaran dan saling memberi kekuatan ketika menghadapi kesulitan yang pada intinya, semuanya ditujukan untuk beribadah kepada    Allah SWT.”

Menurut tulisan Dr. Abdullah Ulwan yang turut ditulis semula oleh Dr. Charles Schaefer terdapat beberapa kaedah yang boleh dipraktikkan oleh ibubapa dalam proses mendidik dan mengasuh anak-anak. Berikut dinyatakan beberapa kaedah tersebut:

1. Ibubapa menjadi contoh teladan (modeling)

‘Ajarlah kanak-kanak menjadikan Islam sebagai pegangan asas dalam kehidupan mereka’.

Menurut kata-kata Imam Al-Ghazali yang turut disokong oleh Vygotsky, seorang tokoh barat, kanak-kanak belajar sesuatu melalui pemerhatian dan seterusnya mereka akan meniru perlakuan atau pertuturan tersebut. Memandangkan ibubapa merupakan individu yang paling banyak bersama dengan kanak-kanak, ibubapa perlu berhati-hati dalam perkara ini terutamanya apabila mereka berbual di hadapan kanak-kanak. Tanpa disedari, kadangkala ibubapa menghina dan mengejek sesuatu di hadapan kanak-kanak. Tindakan ini akan memberi ruang kepada kanak-kanak tersebut mempelajari dan kemudian mereka akan mempraktikkan kepada rakan-rakan yang lain. Harus diingatkan perkara buruk akan berkembang dengan cepat berbanding perkara baik. Sebagai ibu dan bapa, gunakanlah perkataan yang baik dalam pertuturan harian. Tiada ruginya sekiranya perkara yang baik diamalkan.

Dari aspek tingkah laku, ibubapa perlu menetapkan batas dan aturan dalam kehidupan mereka. Misalnya aturan atau adab ketika makan, minum, tidur, menuntut ilmu dan bercakap agar semua itu menjadi kebiasaan bagi akhlak anak-anak. Namun perlu diingatkan bahawa aturan dan peraturan yang dibuat perlulah dijelaskan kepada anak-anak terlebih dahulu supaya mereka mengerti sebab peraturan tersebut diwujudkan dan kanak-kanak juga perlu diberi peluang untuk menyatakan dan membuat pilihan yang ingin mereka lakukan dan meminta mereka menyatakan alasan terhadap pemilihan tersebut. Walaupun dianggap mudah dan remeh, namun secara tidak langsung tindakan ini akan memupuk sikap yakin pada diri kanak-kanak dalam membuat keputusan dan berani dalam menyatakan pendapat serta perasaan yang mereka rasai.

Kanak-kanak yang terlalu dipaksa untuk mengikut peraturan akan berasa tidak puas hati seterusnya boleh melahirkan perasaan ingin memberontak yang nyata. Perkara ini sebaiknya perlu dielakkan. Perkembangan emosi amat penting untuk diambil kira. Kesilapan yang selalu dilakukan oleh ibubapa adalah menganggap pendapat yang diberikan oleh kanak-kanak tidak boleh digunapakai. Ada juga dikalangan ibubapa yang mengejek pendapat yang diberikan. Tindakan ini perlu dipandang serius. Kanak-kanak perlu dianggap sebagai orang dewasa yang mampu membari pandangan dan perasaan yang dialami. Sebenarnya, apabila pendapat yang diberikan oleh kanak-kanak diterima oleh ibubapa, perkembangan emosi kanak-kanak tersebut sedang berkembang dengan baik. Mereka akan merasai bahawa diri mereka sedang dihargai dan kehadiran mereka diperlukan. Ibubapa perlu belajar untuk mengajak kanak-kanak duduk bersama dalam menyelesaikan masalah. Apabila meningkat dewasa, kanak-kanak ini akan menjadi insan yang mampu menghargai pendapat dan pemberian yang diberikan oleh orang lain serta lebih berfikiran terbuka dalam menyelesaikan masalah.

2. Memberikan ganjaran terhadap perlakuan baik dan peneguhan atau hukuman terhadap sikap buruk yang ditunjukkan.

Memberikan ganjaran bukanlah bermaksud ibubapa sentiasa memberikan hadiah yang mahal-mahal kepada kanak-kanak. Sebaliknya ibubapa perlulah adil dan bijak dalam memberi penghargaan terhadap tingkah laku baik yang anak-anak tunjukkan. Misalnya melalui senyuman dan juga pujian. Ganjaran yang diterima menjadikan kanak-kanak merasai perlakuan mereka dihargai dan disukai. Dalam perkara ini, ibubapa perlu bijak dalam memberikan ganjaran. Tidak terlalu kerap juga tidak terlalu jauh jarak masanya. Hal ini penting dalam menjadikan kanak-kanak supaya tidak sentiasa mengharapkan balasan daripada orang lain apabila ingin bertingkah laku yang baik.

3. Mendidik kanak-kanak berlandaskan realiti dunia sebenar berlandaskan syariat Islam

Ibubapa perlu mendidik dan mendedahkan anak-anak mereka dengan keadaan dunia sebenar kerana mereka mempunyai hak tersebut. Biarkan kanak-kanak belajar melakukan sesuatu. Penerokaan membantu proses pembelajaran mereka.

Kesilapan yagn sering dilakukan oleh kebanyakan ibubapa adalah terlalu mengawal tindakan anak-anak. Alasan yang sering diberikan kanak-kanak masih kecil dan mereka perlu dilindungi. Tindakan ini sebenarnya akan menyusahkan ibubapa pada masa akan datang. Hal ini disebabkan ibubapa sedang mendidik akan-anak menjadi insan yang tidak berupaya melakukan sesuatu dengan sendiri atau dengan kata mudah berdikari. Mereka akan membesar menjadi remaja yang terlalu bergantung kepada orang lain dan ini sekaligus menunjukkan mereka mempunyai kecerdasan emosi yang kurang. Mereka akan mudah berasa putus asa dan kecewa sekiranya keinginan mereka tidak dapat dipenuhi oleh orang lain. Padahal dalam Islam itu sendiri, kanak-kanak dan remaja mempunyai tempat yang tinggi dalam negara dan masyarakat.

“Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”. (Al Isra: ayat 70)

Situasi seperti inilah yang sering diperhatikan berlaku dalam kalangan remaja zaman sekarang. Mempunyai perasaan mudah mengalah terhadap cabaran dan tidak mampu menguruskan diri sendiri dengan baik. Contoh yang mudah, baru-baru ini dilaporkan terdapat sebilangan besar guru muda yang ditempatkan di pedalaman memohon rayuan supaya dipindahkan ke bandar atas alasan keperluan hidup di penempatan tersebut tidak mencukupi. Remaja zaman sekarang dikatakan sebagai pokok bunga yang cantik tetapi tidak mampu bertahan di bawah cahaya matahari yang terik. Perumpamaan yang cukup mudah. Mempunyai fizikal yang baik tetapi lemah dalam aspek ketahanan emosi dan mental apabila mula diuji.

Selain ibubapa, agensi pendidikan turut memainkan peranan yang penting. Kurikulum yang digunakan perlu digubal dengan sebaik mungkin. Akan tetapi, penekanan perlu diberikan terhadap pendidikan yang berlandaskan Islam. Pendidikan berlandaskan syariat Islam bermaksud  memperkenalkan kepada anak-anak dengan unsur-unsur keimanan, membiasakan dirinya dengan rukun Islam serta mendidiknya dengan prinsip-prinsip syariat yang mulia sejak usia tamyiz (berakal) lagi dan penerapan unsur ini bukan sahaja dilakukan bagi matapelajaran Pendidikan Islam namun ianya perlu diintegrasikan dalam semua subjek yang diajarkan di peringkat sekolah. Ibarat pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kanak-kanak yang menghuni Bumi Allah di zaman ini tidak lagi boleh dibiarkan hidup seperti kanak-kanak di awal zaman. Mereka juga tidak boleh dididik seperti kanak-kanak zaman dahulu. Hal ini memandangkan cabaran yang perlu mereka hadapi adalah lebih besar dan mencabar. Persediaan diri mereka untuk meniti usia remaja yang dikatakan sebagai peringkat yang mempunyai paling banyak krisis diri perlu betul-betul mantap. Mereka perlu dididik agar dapat menjadi insan yang mampu memikirkan perkara yang baik dan buruk dengan menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan utama dalam kehidupan mereka dan bukannya hanya mementingkan pencapaian akademik.

‘Kecemerlangan pelajar bukan diukur dari bilangan A yang diperolehnya dalam setiap peperiksaan, namun dari kecemerlangan aspek rohani dan jasmaninya adalah lebih baik,’ (Dr. Rozieta Shaari, Pakar Pembangunan Modal Insan).

Mengapa perlu dibiarkan ‘bunga-bunga’ yang bakal berkembang dengan cantik ini layu sebelum ianya berkembang hanya kerana kejahilan penjaganya? Apakah mereka hanya layak berada dalam pasu sedangkan mereka mampu membesar dan berkembang dengan baik sekiranya diberi peluang untuk ditanam di tanah yang cukup nutriennya? Sekadar renungan bersama….

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: