Posted by: aKuD@iF | 27 September 2008

Cebisan Cinta Ramadhan

Alhamdulillah, sedar tak sedar, masa yang berlalu membawa kita hampir ke penghujung Ramadhan. Di mana bulan yang telah dijanjikan oleh Allah swt dengan pelbagai jenis ganjaran yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain. Tambahan pula di dalam bulan tersebut terdapat satu malam yang penuh dengan rahmat dan redha Allah Taala iaitu Lailatul Qadar.

Bulan Ramadhan juga dikenali sebagai ‘Madrasatul Ramadhan’ atau pusat mentarbiyah diri, kerana di dalamnya terkandung pelbagai pengajaran dan pembelajaran yang dapat dipelajari secara lansung atau tidak. Tarbiyah Ramadhan akan mencorak para pencintanya agar menjadi seorang Muslim yang sejati agar apabila mereka keluar dari Madrasatul Ramadhan, mereka lebih sabar dan mampu mengharungi seribu satu cubaan dan dugaan di luar sana.

Pada bulan ini, para pencinta Ramadhan menjalani tarbiyah islamiyah mutakamilah (pendidikan Islam yang sempurna) yang meliputi tarbiyah ruhiyah (ruhani), aqliyah (intelektual), dan jasadiyah (fizikal). Tarbiyah ramadaniyah ini diikuti seluruh kaum muslimin; dari pemerintah hingga rakyat, kaya atau miskin, tua ataupun muda, remaja maupun dewasa tanpa memandang suku bangsa, warna kulit atau pun bahasa, semua yang mengaku beriman dan islam bersama-sama mentaati perintah Allah untuk berpuasa Ramadhan.

Tetapi, sejauh manakah ketaatan kita semua pada perintah puasa itu? Puasakah mata, mulut, telinga, tangan, kaki dan pemikiran kita dengan sebenar-benar puasa seperti yang diajar oleh Rasulullah saw? Atau sekadar menahan lapar dan dahaga dengan membiarkan nafsu pemikiran bermaharajalela dalam diri?

Harus difahami dengan jelas bahawa tarbiyah ramadhan menghubungkan manusia dengan Pencipta. Menghidupkan hati nurani dan mengisi jiwa dengan nilai-nilai keimanan yang tinggi. Lantas membentuk jiwa yang kental dan menuruti fitrah kejadian asal manusia. Para Pencinta Ramadhan, mereka akan melalui didikan Taqarrub ila-Llah (mendekatkan diri kepada Allah) dengan ibadah sepenuhnya siang dan malam hari, serta Taqarrub ila minhajillah (mendekatkan diri dengan Ketuhanan Allah Taala). Tambahan pula, interaksi yang intensif dengan Al Qur-anul karim dan pemunajatan doa benar-benar memberi banyak nilai tambah dalam penghayatan Ramadhan. Maka, gelaran kesarjanaan yang akan diperoleh mereka yang mengikuti program pendidikan ini adalah “Taqwa”.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 menyebut :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.

Di sini, jelaslah inspirasi Pencinta Ramadhan yang begitu berbeza dengan Peminat Ramadhan. Peminat Ramadhan, menunggu kedatangan Ramadhan dengan angan-angan manakala Pencinta Ramadhan menanti Ramadhan dengan impian mencapai RedhaNya. Segelintir Peminat Ramadhan menjadikan Ramadhan hanya sebagai ruang untuk mereka mengaut keuntungan dunia dengan berniaga juadah berbuka puasa sehingga leka menunaikan fardhu solat dan ibadat sunat yang lain. Tidak dinafikan juga, ada yang menjadikan Ramadhan sebagai bulan promosi untuk barangan mereka dengan mengenakan diskaun dan jualan mega Ramadhan.

Masing-masing mengharungi Ramadhan mengikut selera kemahuan sendiri tanpa menimbang tara kembali apa sebenar intipati Ramadhan mengikut lunas-lunas islam yang meletakkan Ramadhan sebagai bulan untuk menaiktaraf tahap iman dan meningkatkan nilai akhlak serta pengujaan dari segi penuntutan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Apabila datangnya Ramadhan maka akan berebut-rebutlah Umat Islam membaca Al-Quran, malah ada pula yang cuba untuk mengkhatamkannya sehingga berkali-kali. Namun tahukah kita estestika Ramadhan bukan sekadar di isi dengan membaca Al-Quran semata-mata, tanpa mengetahui apakah intipati yang dikehendaki daripada Al-Quran itu sendiri dan memahami konsep perintah dan larangan-Nya. Lantas menilai kembali sejauh mana kita menunaikan amanah sebagai hamba dan khalifah Allah Taala di atas muka bumi ini.

Jangan hanya bangga kerana dapat menghabiskan Al-Quran 30 juzuk dalam bulan Ramadhan tetapi tidak mengetahui dan hipokrit dalam perlaksaan tanggungjawab kita padaNya. Amat dikesalkan apabila berlalunya Ramadhan, kita bertukar menjadi seorang yang derhaka kepada-Nya tidak kira sama ada secara sedar atau tidak.

Jangan hanya taat di bulan Ramadhan tetapi bertukar menjadi seorang penentang agama-Nya apabila berlalunya Ramadhan. Malah masih kekal dalam keangkuhan untuk mentaati perintah-Nya, tidak ambil peduli tentang larangan-Nya, mengabaikan kebajikan kedua ibu bapa, jahil tentang perintah menutup aurat, meragui keadilan hukum-hakam-Nya, dan memewahkan hidup semahunya tanpa ada batasan syariat.

Malah ada yang menjadikan alasan kerja yang banyak dan masa belajar yang padat sebagai jalan keluar untuk menghalusi intipati sebenar penghayatan Ramadhan. Yang tinggal hanya sekadar berbangga menghabiskan Al-Quran 30 juzuk semata-mata! Oleh itu, Tarbiyah Ramadhan bukan sekadar menekan aspek luaran semata-mata malah lebih kepada aspek kerohanian. Begitulah sikap yang ditunjukkan oleh Peminat Ramadhan. Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, kategori manakah yang kita duduki sekarang, peminat Ramadhan atau Pencinta Ramadhan?

Oleh itu, semoga bulan Ramadhan ini akan dapat memberikan kita pengajaran yang melekat di dalam hati walaupun sedikit dan semoga ketaatan dan ketekunan melakukan ibadat di dalam bulan ini tidak berlalu sebagaimana berlalunya Ramadhan. Kita seharusnya istiqamah dan sabar dalam mendidik diri kita untuk mencapai status muslim yang bertaqwa.

Diharapkan agar, Ramadhan kali ini menjadi titik tolak peningkatan amal ibadah kita dan perubahan akhlak selari dengan akhlak islamiyah. Usah sia-sia kan Ramadhan yang berlalu pergi tanpa ada pengisian yang berguna untuk kita, kerana belum tentu Ramadhan yang berikutnya akan kita temui nanti.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: